BELUM ada kepastian sama ada Datuk Azizulhasni Awang dapat menyertai kontinjen negara ke Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley berkongsi kemungkinan terbabit, selepas jaguh berbasikal trek negara itu menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini (Isnin).
“Sama ada dia cukup cergas untuk bertanding di peringkat ini, masih 50-50.
“Kami masih menunggu sehingga Khamis sebelum membuat keputusan seterusnya,” kata Beasley, ringkas apabila ditanya mengenai perkembangan terkini The Pocket Rocketman.
Jumaat lalu Azizul dalam laman sosial miliknya memaklumkan terbabit dengan kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional, Nilai.
Menerusi perkongsian video berdurasi 36 saat di Facebook menyaksikan jaguh negara itu seperti melambung ketika berada di selekoh dalam usahanya untuk mengejar motosikal pada sesi latihan terbabit.
Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill positif, Azizulhasni akan beraksi di Hangzhou kerana luka-luka dialami pemenang perak Olimpik Tokyo itu, hanya membabitkan bahagian luaran.
Namun, sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan ISN berhubung situasi Azizulhasni dan jika benar pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu tidak dapat beraksi, peluang memburu pingat berbasikal pasti terarah kepada Mohamad Shah Firdaus Sahrom dan kuartet pecut lelaki.