KEPUTUSAN menarik diri dari perlawanan penentuan gangsa acara pecut di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia, semalam, bagi melindungi jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, semata-mata.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley berkata, kondisi terkini Azizulhasni, dalam keadaan baik dan tidak perlu dibimbangkan, sekali gus meleraikan kebimbangan pelbagai pihak mengenai status prospek emas Olimpik negara itu.

Beasley berkata, keputusan menarik diri dibuat kerana pihaknya tidak mahu mengambil risiko yang boleh mengundang kepada perkara yang tidak diingini membabitkan tahap kesihatan pelumba berusia 36 tahun itu.

Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley sahkan Datuk Azizulhasni Awang dalam kondisi yang baik namun kekal dalam pemantauan.

“Datuk Azizulhasni dalam keadaan baik, kami yakin dia sudah pun melakukan yang terbaik dan sudah tiba masanya untuk kami menjaganya (kesihatannya). Seperti yang semua tahu, dia tidak berada dalam keadaan kesihatan 100 peratus dan tiada gunanya memaksa dia dan mengambil risiko.

“Dia menyumbang pingat emas (acara keirin) kepada Malaysia dan menamatkan saingan pecut di tempat keempat. Ia menjadi tanggungjawab kami untuk mengutamakan kesihatannya dan membantu dia bersedia untuk Sukan Olimpik Paris.

“Kini, saingan Piala Negara-Negara sudah pun berakhir dan Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon (Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan merangkap Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara) sedang mengatur beberapa siri ujian yang akan dilakukan untuk tempoh beberapa minggu akan datang untuk kita bergerak ke hadapan membina momentum  menuju ke Paris,” kata Beasley.

Datuk Azizulhasni Awang sentiasa dahagakan kejayaan dan tidak pernah menunjukkan rasa berputus asa.

Kelmarin, The Pocket Rocketman membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya biarpun dibelenggu masalah kesihatan dan mengambil ubat perikarditis untuk menjaga saluran jantungnya.

Dia memenangi pingat emas dalam acara keirin sebelum terkandas di separuh akhir acara pecut individu, sebelum menarik diri daripada perlumbaan penentuan gangsa.

Sebelum ini, Beasley mendedahkan yang penyertaan Azizulhasni di Adelaide akan dipantau selepas dia perlu mengambil ubat perikarditis, ubatan yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Pada April 2022, Azizulhasni terpaksa menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne.

Inilah detik hitam yang bermula dalam kehidupan Datuk Azizulhasni Awang, namun pelbagai dugaan dan rintangan yang datang, dia tetap mengekalkan tahap pencapaiannya sebagai atlet berkelas dunia.

Dalam pada itu, Beasley pihaknya tidak pernah sesekali meragui tahap kemampuan Azizulhasni untuk kembali bangkit di sebalik masalah kesihatan dialaminya sekali gus kekal sandaran utama untuk menggalas tanggungjawab negara di Olimpik Paris.

“Ramai meragui mengenai kemampuannya untuk kembali pada tahap prestasi terbaik tetapi kami tidak pernah meraguinya. Saya harap seluruh rakyat Malaysia akan terus berada di belakang atlet negara dalam misi untuk ke Paris.

“Bukan mudah untuk menjadi Olimpian dan lebih sukar bagi memenangi pingat. Jadi, teruskan berada di belakang mereka kerana mereka memberikan semuanya untuk anda,” katanya.