MEMASUKI pusingan akhir (final) keirin adalah sesuatu perkara yang sangat mencabar dan perkara ini diakui sendiri oleh jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Menurut beliau, kegigihan dan momentum cemerlang yang dipamerkan oleh rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom adalah satu pencapaian membanggakan kerana hampir mendapatkan gangsa.
Namun situasi menjadi lebih pahit, apabila Shah Firdaus terpaksa akur dengan keputusan juri Olimpik Paris apabila dia disahkan tersingkir pada final keirin, sekali gus meletakkan dia di kedudukan keenam (terakhir).
Oleh demikian, Azizulhasni yang memuktamadkan untuk bersara dalam arena sukan berbasikal berkeyakinan bahawa Shah Firdaus akan meneruskan legasi ‘The PocketRocket Man’-nya, sekali gus memberi fokus terhadap Olimpik Los Angeles (LA) 2028 nanti.
“Untuk memasuki pusingan akhir (final) Keirin di Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah, itu adalah fakta. Ketika Olimpik Tokyo beliau terkandas di pusingan quarterfinal dan penampilan kali ini di Paris beliau berada di final adalah satu prestasi yang amat cemerlang.
“Memasuki baki 100 meter perlumbaan, Shah datang dengan kelajuan yang meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau jatuh.
“Satu persembahan yang kita semua perlu bangga dan saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Paling penting adalah untuk menggunakan empat tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya LA2028. Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini.
“Akhir kata saya percaya Shah akan jauh lebih bagus dan boleh memberikan pencapaian jauh lebih cemerlang di LA2028 nanti.
“Baton sudah disampaikan. Saya kirim kepada awak pula, Shah Firdaus,” menurut Azizulhasni dalam satu hantaran di Facebook rasminya.