JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencipta rekod baharu kebangsaan pecut individu, apabila mencatat masa 9.402 saat (s) pada pusingan kelayakan di Saint Quentin en Yvelines, Paris.
Catatan masa dilakukannya itu, mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, 9.523s pada saingan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023, di Veledrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.
Pencapaian The Pocket Rocketman itu membolehkannya menamatkan saingan kelayakan pecut individu pada kedudukan ke-10 daripada 30 pelumba, sekali gus melayakkan diri ke pusingan 1/32 yang dijadual berlangsung 8.30 malam ini.
Turut mara, Mohd Shah Firdaus Sahrom, yang menamatkan saringan pada kedudukan ke-22 dengan catatan 9.635s.
Pusingan kelayakan yang boleh dianggap paling pantas itu turut menyaksikan rekod dunia dipecahkan dua kali.
Pelumba Australia, Mathew Richardson lebih dahulu mengatasi rekod dunia milik pelumba Belanda, Harrie Levreysen 9.099s, apabila merakam masa 9.091s.
Namun Levreysen yang terakhir ke trek, memintas catatan itu apabila merampas semula rekod dunia dengan catatan 9.088s.