JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menyatakan keterujaannya untuk memulakan pertandingan esok dalam Sukan Olimpik kelima dan terakhirnya.
“Saya sangat teruja untuk memulakan pertandingan esok untuk Sukan Olimpik kelima dan terakhir saya. Mewakili kontinjen Malaysia merupakan pengalaman paling bermakna dalam kerjaya saya,” ujar Azizulhasni menerusi Facebook.
Azizulhasni, yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman, telah menjadi ikon sukan negara dengan pencapaian luar biasanya dalam arena berbasikal trek. Penglibatannya dalam Sukan Olimpik Paris ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya cemerlangnya.
“Saya bangga dapat memberikan yang terbaik sekali lagi!” tambahnya dengan penuh semangat.
Seluruh rakyat Malaysia pastinya berharap agar Azizulhasni dapat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dan menutup tirai karier Olimpiknya dengan penuh gemilang.
Azizulhasni bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sebelum ini menjalani latihan di Velodrom Illes Balears, Mallorca, Sepanyol.
Pelumba berusia 36 tahun itu akan memulakan kempen acara pecut individu yang dijadualkan berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines pada 7 Ogos ini.
Selain itu, Azizulhasni yang beraksi di Olimpik bermula edisi Beijing 2008, London 2012, Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020, turut akan beraksi dalam acara keirin pada 10 Ogos ini.
Sebagai rekod, pelumba kelahiran Dungun Terengganu itu berjaya meraih gangsa dan perak, masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020 kini mengintai kilauan pingat emas sebelum mengakhiri karier sebagai pelumba.