JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakhiri perjalanannya dalam acara pecut di Sukan Olimpik Paris, di pusingan 1/8, sekali gus mengulangi pencapaian di Temasya Tokyo tiga tahun lalu.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu terpaksa mengharungi lima perlumbaan sebelum cubaannya untuk mara ke suku akhir, terhenti pada aksi repechages pusingan 1/8.

Pada peluang terakhir tu, Azizulhasni bersaing dalam heat 2 bersama pelumba pecut nombor 1 dunia Mateusz Rudyk dari Poland dan Mikhail Yakolev dari Israel.

Dia mengikut rapat di belakang Rudyk namun kejaguhan lawannya itu sukar digugat sekali gus memenangi perlumbaan dan mara ke suku akhir.

Terdahulu, dalam perlumbaan 1/8, Azizulhasni dikalahkan Jeffrey Hoogland dari Belanda, bagaikan aksi ulangan kerana pelumba berusia 36 tahun negara itu, tewas kepada lawan yang sama di Olimpik Tokyo, tiga tahun lalu.

Bezanya di Tokyo 2020, legenda Great Britain yang mengalahkannya di repechages 1/8, kali ini pelumba pecut nombor satu dunia, Mateusz Rudyk pula menunjukkan jalan keluar sekali gus gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian Beijing 2008 dan London 2012.

Pada pusingan kelayakan, Azizulhasni menduduki tempat ke-10 selepas mencatat masa 9.402 saat (s) iaitu rekod baharu kebangsaan.

Selepas itu, dia mudah mengetepikan Luca Spiegel dari Jerman pada pusingan 1/32 dan mengalahkan pelumba Great Britain, Hamish Turnbull di saingan 1/16.

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom pula tumpas di pusingan 1/32 kepada pelumba Israel, Mikhail Yakovlev, hasratnya untuk meneruskan kemaraan melalui peluang terakhir di repechages 1/32 juga menemui jalan buntu apabila dinafikan Vasilijus Lendel dari Lithuania.

Selepas ini, kedua-dua pelumba negara akan meneruskan cabaran dalam saingan keirin yang dijadual berlangsung pada hujung minggu ini.