AIDILFITRI kali ini, mengubat kerinduan pemain sepak takraw negara, Mohd Azlan Alias kepada adik-beradiknya, apabila berjaya berkumpul setelah sekian lama.

Menurut Azlan, sejak ibu bapanya meninggal dunia, sudah lama dia dan adik beradik tidak berkumpul menyambut hari raya bersama-sama, terutamanya di rumah pusaka, di Bagan Serai, Perak.

“Maklumlah, saya sibuk dengan latihan, ada abang saya yang jadi askar, susah dapat cuti.

“Tapi tahun ini kami dapat berhari raya bersama-sama di rumah pusaka, kerana kakak saya kini menetap di rumah itu.

“Jadi hari raya kami berkumpul lima beradik buat kali pertama sejak arwah mak meninggal dunia,” kata Azlan, dalam program Sembang Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN).

Begitupun, Azlan, anak bongsu dari lima beradik mengakui, tetap merindukan juadah hari raya tradisi keluarganya.

“Sejak kecil, kami adik-beradik memang menanti-nantikan untuk makan dodol yang dibuat ayah dan mak.

“Setiap kali menjelang hari raya, ayah akan mula mengacau dodol untuk jualan dan detik itu sentiasa kami nantikan,” ujar Azlan lagi.

Meskipun merindukan ibu dan ayah, Azlan sedar kehidupannya perlu diteruskan seperti insan normal dan dia sentiasa berazam mahu menyatukan adik beradiknya.

Azlan Alias bersama isteri dan anak tercinta.

Azlan turut menceritakan yang dia pernah dimarahi bapanya kerana cuba menyertai pasukan bola sepak, sehingga dia nekad hanya fokus kepada sepak takraw.

Begitupun, dia mula menyertai pasukan kebangsaan di Sukan Sea Myanmar 2013, namun beraksi dalam acara chonlone.

“Waktu itu, pasukan pelapis hanya dapat bermain dalam acara chinlone, pasukan elit pula dalam sepak takraw.

“Pada 2014, saya meninggalkan skuad kebangsaan dan masuk balik pada 2015 untuk Sukan Sea di Singapura. Kali ini, baru dapat main sepak takraw,” cerita Azlan, sambil memberitahu bahawa bapanya juga seorang pemain sepak takraw.

Azlan kini berada dalam skuad kebangsaan, giat melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf, yang akan berlangsung bulan hadapan.