PEREJAM negara, Azlan Alias tekad untuk menyajikan aksi lebih cemerlang pada kejohanan sepak takraw seterusnya, andai dia diberi kepercayaan berterusan oleh jurulatih, Ahmad Jais Baharun.

Berbaki lebih kurang tiga bulan sahaja lagi untuk Malaysia mempersiapkan pasukan sekali gus melakukan misi balas dendam atas kekalahan acara regu berpasukan di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Menurut Azlan, rezeki untuk menang di kejohanan tersebut memang tidak menyebelahi pasukannya, namun dia akan berjuang untuk merampas kemenangan itu semula di Piala Raja Thai yang akan berlangsung di Bangkok pada September nanti.

Azlan mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan Piala Dunia lalu.

“Tetapi, senarai nama tidak keluar lagi. Kami baharu sahaja selesai lengkapkan Piala Dunia dan mungkin selepas ini akan dapat tahu senarai baharu yang diberi kepercayaan oleh jurulatih. Sekiranya nama saya naik, sudah tentu saya akan buat yang terbaik,” kata Azlan.

Skuad sepak takraw negara yakin akan bangkit semula untuk menebus kekecewaan selepas gagal menundukkan Gajah Perang dalam acara berpasukan di final Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung kelmarin.

Malaysia sebaliknya disisihkan oleh Thailand 1-2 dan menjadikan kemarau 33 tahun dalam acara berpasukan dengan Thailand tetap berlanjutan buat skuad sepak takraw kita.

Dia tekad membalas dendam kepada Thailand pada aksi seterusnya.

Azlan memberi ulasan mengenai pencapaian keseluruhan di pentas kejohanan itu dan menyatakan bahawa sasaran utama yang ditetapkan sudah berjaya dicapai, namun terlepas peluang berharga untuk melakar sejarah baharu buat Malaysia.

“Ikutkan saya, sasaran sampai kerana Malaysia sasarkan ke final sehingga acara berpasukan. Nak kemenangan dalam acara regu dan double bukan mudah tetapi kita sudah lakukan yang terbaik dan kami bersyukur dapat nombor dua.

“Jadi bagi saya, saya berpuas hati dengan permainan. Kami sudah berikan 100 peratus tetapi rezeki tidak memihak kepada kita,” tambahnya.