PERTAHANAN kiri, Mohamad Azmi Muslim akui sedih terpaksa meninggalkan Penang FC tetapi akur dengan keputusan pengurusan yang mengakui namanya sudah tiada dalam perancangan jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan.
Sebagai pemain bola sepak profesional, dia anggap itu sebagai sesuatu yang lumrah dan berharap Penang masih mampu kekal di pentas Liga Super musim depan.
“Saya telah berada selama dua setengah musim di Penang dan terpaksa tinggalkan pasukan ketika mereka sedang berada di tangga terbawah liga.
“Bimbang jika ada penyokong katakan yang saya sengaja tinggalkan pasukan ketika dalam kesukaran tetapi percayalah saya juga mahu bantu Penang jika diberi peluang.
“Namun saya akur dengan keputusan pengurusan tetapi dalam masa sama saya mendoakan agar Penang untuk terus kekal di Liga Super pada musim depan,” katanya sudah beraksi hampir 17 tahun di Liga Malaysia.
Bekas pemain Kedah, JDT, ATM, Selangor dan Melaka United itu kini membawa cabaran baharu bersama PDRM FC secara pinjaman bagi baki saingan musim ini.
Malah, pemain berusia 35 tahun itu diharap boleh menjadi pembimbing kepada pemain muda di dalam skuad The Cops.