BELUM masanya untuk badang berpengalaman negara, Muhamad Aznil Bidin mengangkat bendera putih dalam usahanya ke temasya Olimpik Paris, Julai depan.
Ketika ranking terkini, lebih memihak kepada atlet junior, Mohamad Aniq Kasdan yang berada di kedudukan ketujuh berbanding dirinya yang berada di ranking ke-11, Aznil optimis, peluang untuk layak ke temasya sukan terbesar dunia itu masih terbuka luas.
Justeru, dia mahu terus berjuang kerana masih ada satu lagi peluang di Kejohanan Angkat Berat Dunia, yang menjadi kelayakan terakhir ke Paris yang akan berlangsung di Phuket bermula dari 2 hingga 11 April.
“Peluang belum tertutup. Saya masih boleh cuba melayakkan diri dan ini juga menjadikan persaingan antara saya dan Aniq satu yang sihat.
“Siapa yang layak dia yang akan mewakili negara. Saya masih belum putus asa. Tiada rasa cemburu atau sebaliknya kerana semua rezeki dari Tuhan.
“Sebenarnya persaingan ini sangat bagus untuk sukan angkat berat kerana kita mempunyai ramai atlet untuk terus menyumbangkan pingat buat negara,” katanya.
Aznil dan Aniq, kedua-duanya beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan Aniq kini berstatus pemegang rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan keseluruhan 296kg yang dilakukan di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II, Qatar tahun lalu.
Manakala Aznil yang meraih dua pingat emas temasya Sukan Komanwel Gold Coast dan Birmingham itu memiliki catatan terbaik peribadi 290kg.
Untuk layak ke Paris, hanya 10 atlet yang berada di ranking terbaik dunia akan layak secara automatik ke temasya terbesar itu.
Jika Aniq atau Aznil berjaya layak ke Paris, mereka akan menjadi atlet keempat dalam sukan itu yang pernah beraksi di temasya terbesar dunia selepas Amirul Hamizan Ibrahim 2008, Faizal Baharom (2004) dan Hafifi Mansor (2016).
Dalam pada itu, Aznil mendedahkan bahawa penyertaannya dalam acara 61kg di Phuket adalah yang terakhir kerana dia akan beralih ke kategori 67kg.