KETIKA tumpuan penyokong lebih tearah kepada aksi pemain bintang dalam saingan pembukaan Liga Super minggu lalu, ramai tidak sedar bahawa kehadiran penjaga gol veteran Wan Muhammad Azraei Wan Teh  padang telah mencipta rekod baharu.

Kelibat penjaga gol veteran Kuching City FC itu ketika menentang Kuala Lumpur City FC jelas masih lagi tangkas walaupun bakal berusia 38 tahun pada Julai ini sekali gus menjadi pemain paling tua beraksi dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

Berdasarkan rekod Liga Malaysia ketika ini, selain Wan Muhammad Azraei, seorang lagi penjaga gol berpengalaman Johor Darul Ta’zim, Farizal Marlias juga bakal menginjak usia 38 tahun.

Wan Muhammad Azraei Wan Teh disenaraikan dalam kesebelasan utama Kuching City untuk perlawanan pertama Liga Super 2024/25. (Sumber Gambar: FB Kuching City FC)

Wan Muhammad Azraei jelas masih mendapat kepercayaan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dan kepercayaan itu dibalas dengan baik apabila pemain kelahiran Kuala Terengganu itu membantu pasukan membawa pulang satu mata dari Kuala Lumpur dalam aksi pertama Liga Super.

Bagi Wan Muhammad Azraei, dia mempunyai misinya tersendiri bersama Kuching City sebelum mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional sejak 2009.

“Kalau boleh memang saya nak pegang piala, tak kisah piala apa sebelum saya bersara.

“Saya masih boleh bermain mungkin dalam dua, tiga tahun lagi,” katanya.

Bagaimanapun bukan mudah untuk Azraei kekal sebagai penjaga gol utama Kuching City yang turut memiliki pilihan pemain lebih muda iaitu Shahril Sa’ari, Shaiful Wazizi Mohammad dan Uzair Zaidil bagi mengawal gawang pasukan.

“Sudah pasti saya kena bersaing dengan pemain-pemain lain, ia bukan mudah. Tahun lepas kami banyak dibolosi jadi tahun ini kami nak kurangkan jumlah bolos itu,” katanya.

Sepanjang bergelar pemain, Wan Muhammad Azraei pernah mewakili Shahzan Muda, Sri Pahang, T-Team FC, Terengganu FC dan Sabah FC dalam kancah Liga Malaysia dan Kuching City merupakan pasukan keenam dan mungkin yang terakhir untuknya.