RATU pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Azreen Nabila Alias, mungkin terpaksa melupakan hasrat membuat penampilan terakhir pada kejohanan dwitahunan itu di Kuala Lumpur, September ini.
Menyifatkan keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang tidak membenarkan penyertaannya sebagai tidak adil, Azreen Nabila, 22, turut berasa sedih apabila rayuan dibuat Terengganu juga tidak dilayan.
Menurut Azreen Nabila, dia masih bercita-cita dibenarkan bersaing pada Sukma ke-20 nanti untuk sekurangnya-kurangya menerusi acara berpasukan seperti 4×100 meter (m).
“Walaupun belum rasmi, sepertinya sudah tiada harapan untuk saya dan ianya cukup menyedihkan kerana ini adalah temasya terakhir yang boleh disertai.
“Saya beraksi di Sukan Sukan Olimpik atas tiket ‘wild card’ dan bukan secara merit. Jadi alasan saya sudah tidak boleh menyertai Sukma tidak adil bagi saya.
“Sekiranya masih ada proses rayuan, saya harap ianya dipertimbangkan namun saya akur dengan sebarang keputusan,” katanya, ketika ditemui FLASH SUKAN pada Majlis Penyerahan Insentif Skim Hadiah Kemenangan kepada atlet negeri itu yang beraksi di Sukan Sea Vietnam, bulan lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, pihaknya akan meneruskan proses rayuan agar Azreen Nabila dibenarkan bertanding di pentas Sukma buat kali terakhir.
“Kita akan bawa isu ini dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi dalam masa terdekat iaitu esok (hari ini) untuk memberi hak kepada atlet itu untuk bertanding,” katanya.
Azreen Nabila mencuri tumpuan pada edisi terdahulu di Perak, empat tahun lalu, apabila memenangi pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m sekaligus dinobatkan Olahragawati Sukma 2018.