PEMILIK Kuala Lumpur City FC, Azri  Azerai berbangga dengan kejayaan skuad Warga Kota layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 menerusi aggregat di suku akhir.

KL City berjaya menewaskan Sri Pahang 1-0 dalam aksi suku akhir pertama di Cheras sebelum terikat 1-1 di Kuantan namun ianya sudah cukup untuk barisan kendalian Nenad Bacina layak ke separuh akhir bertemu Terengganu FC.

Ini adalah kejayaan keempat KL City ke separuh akhir sejak 2021 — Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023 dengan ketiga-tiga kali itu juga mereka layak ke final bertemu Johor Darul Ta’zim dan Al Seeb dari Oman.

“Saya berbangga dengan kejayaan kelab ini yang sekali lagi layak ke separuh akhir. Konsistensi seperti ini adalah sesuatu yang jarang ada pada mana-mana pasukan dan saya tidak sabar untuk sekali lagi bertemu Terengganu seperti di separuh akhir Piala FA sebelum ini.

“Apa yang saya harapkan pada pasukan adalah mereka kekal konsisten dan bermain bola sepak dengan asas yang baik. Kelab ini mempunyai kekuatan dan karektor yang baik tidak kira di dalam mahupun di luar padang dan ini adalah faktor utama kejayaan kelab ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Meskipun bertukar jurulatih, KL City dilihat tidak terjejas dan masih mengekalkan konsistensi terutama dalam pertandingan piala dengan mempamerkan aksi bertahan yang mantap dan berdisiplin sekaligus mara ke separuh akhir.

KL City bakal berhadapan Terengganu FC, satu lawan yang sedang dalam momentum terbaik dengan rekod 12 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan dan sudah pasti The City Boys mahu melakar sejarah layak ke final keempat dalam tiga musim berturut-turut.