PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC, Azrif Nasrulhaq sudah mula memikirkan tentang masa hadapan sekiranya dia tidak bermain bola sepak apabila menceburkan diri dalam bidang perniagaan sebagai salah satu peluang pendapatan tambahan.
Bersama-sama isterinya, Azrif memulakan perniagaan hotel kucing yang semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan para pencinta kucing yang mahukan servis terbaik kepada kucing mereka apabila terpaksa ditinggalkan.
Sebagai peminat kucing sendiri dan ketiadaan perkhidamatan hotel kucing di kawasan Radia, Bukit Jelutong, Azrif mengambil peluang itu untuk membuka pusat setempat bagi kucing yang juga menyediakan khidmat ‘grooming‘ dan penjagaan kucing.
“Sejak dahulu saya memang suka dengan kawasan Bukit Jelutong ini dan saya berniat hendak membeli kedai di kawasan ini dan syukur dapat melaksanakan impian itu dan gembira melihat kawasan ini begitu pesat membangun.
“Saya dan isteri melihat tidak ada hotel kucing di kawasan ini jadi kami memutuskan untuk membuka perniagaan ini dan tidak menyangka ianya mendapat sambutan walaupun baharu sebulan dibuka,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Azrif juga menyatakan ini bukanlah perniagaan pertamanya tetapi mahu mengembangkan lagi empayar perniagaan yang telah dibina bersama isterinya dan menganggap hotel kucing ini sebagai ruang terapi buatnya selepas bermain bola sepak.
“Saya dan isteri sendiri meminati kucing jadi kami faham tentang apa yang dikehendaki oleh tuan kucing dan kucing itu sendiri dan kami menjadikan hotel kucing kami cukup kondusif dan selamat untuk semua jenis kucing,” jelasnya lagi.
Meskipun sudah memulakan perniagaan, minat Azrif terhadap bola sepak tidak pernah padam dan dia menyerahkan tanggungjawab mengurus perniagaan kepada isterinya ketika dia sibuk dengan komitmen bersama kelab.