PENJAGA gol wanita negara, Nurul Azurin Mazlan kecewa apabila gagal membantu kelabnya, Misaka United untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Super Wanita India meskipun berjaya mengikat juara bertahan, Gokulam Kerala.

Kehadiran Azurin di gawang Misaka banyak membantu pasukan itu mencatat keputusan yang baik dengan meraih dua kemenangan, empat seri dan hanya satu kekalahan dari 10 perlawanan dalam Kumpulan A namun Misaka tidak berjaya menduduki empat tempat teratas untuk ke pusingan seterusnya.

Azurin yang dihubungi FLASH SUKAN hanya melepaskan dua gol sahaja dari 10 perlawanan sekaligus membuktikan kehebatan dia menjaga gawang dan Misaka United menjadi pasukan tunggal yang tidak dibolosi oleh Gokulam Kerala yang menjaringkan 53 gol secara keseluruhan.

“Pertama sekali, saya sedikit kecewa kerana tidak lepas ke peringkat kalah mati. Walaupun secara peribadi saya rasakan kelab dan para pemain telah melakukan tugas yang baik terutama buat kami yang majoritinya melakukan debut buat kelab.

“Berdasarkan statistik, pasukan kami banyak melakukan kejutan terutama ketika berhadapan penyandang juara, Gokulam Kerala tetapi rezeki kami sampai disitu sahaja,” katanya.

Dia juga tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri sebagai pemain luar dan sebagai seorang Muslim meskipun berasa sedikit mencabar terutama apabila berlatih pada waktu panas terutama ketika bulan Ramadan tempoh hari.

“Sebagai pemain luar dan Muslim, tidak ada masalah untuk saya sesuaikan diri kerana pada saya perkara itu adalah subjektif. Cuma ketika saya datang ke Bengaluru ini ketika bulan puasa jadi saya rasa yang jadi cabaran cuma latihan pada jam 11 pagi di bawah cuaca panas terik,” jelasnya.

Ditanya adakah dia mahu kembali ke Malaysia apabila Liga Wanita Kebangsaan dimulakan, dia tidak mempunyai masalah sekiranya ia tidak menggangu jadualnya kerana dia mementingkan minit permainan dan sentiasa mahu berada dalam prestasi yang terbaik.

“Saya akan balik dalam masa terdekat, kerana saya masih terikat dengan pembelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Jika jadual liga tidak bertindih dengan jadual saya, tidak jadi masalah untuk saya sertai kerana pada saya masa permainan itu sangat penting dan saya mahu sentiasa berada dalam prestasi yang terbaik,” jelas gadis berusia 23 tahun itu.