PEMAIN ragbi 7 sebelah (7s) kebangsaan, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi mengakui bahawa pasukannya kini tidak mempunyai persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan bermula pada 23 September.
Azwan Zuwairi yang berusia 26 tahun turut menjelaskan kekangan latihan yang dialami oleh skuadnya juga merupakan satu punca susulan pertukaran jurulatih yang baru mengendali mereka pada bulan Julai lalu.
Beliau dalam masa yang sama turut mengetepikan soal fasa menyesuaikan diri dengan strategi yang diterapkan oleh ketua jurulatih barunya, Nik Safuan Ismade Nik Man untuk terus berjuang dalam temasya Sukan Asia Hangzhou.
Namun, pemain berketinggian 1.74 meter itu juga berkata meskipun Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) meletakkan sasaran mereka untuk ke separuh akhir, dia mahu bersikap lebih realistik dan mempamerkan persembahan sehabis baik terutama dalam perlawanan pertama bertemu Filipina.
Jelasnya, walaupun sudah pernah beraksi bersama pasukan itu dalam beberapa kejohanan antarabangsa lalu, namun dia merasakan kesukaran untuk mendapat keputusan memuaskan kerana menyedari kekuatan The Volcanoes yang mempunyai ramai pemain asing.
“Hasrat untuk ke peringkat separuh akhir itu agak sukar untuk dicapai kerana kami ke Sukan Asia kali ini dengan persediaan kurang rapi, jadi kami hanya akan tampilkan persembahan terbaik.
“Tapi mungkin untuk KPI kali ini kami akan cuba realisasikan untuk meraih kemenangan walaupun sasaran kami masih jauh iaitu pada Sukan Asia 2026.
“Peluang untuk menumpaskan Filipina nanti agak ’50-50′ kerana ikutkan rekod sebelum ini, ada perlawanan yang kami menang dan mereka kalah dan juga mereka pernah menumpaskan skuad kami namun kami tetap akan bekerja keras untuk tampilkan aksi yang baik,” ujarnya di Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum berlepas ke Hangzhou.
Malaysia telah diundi untuk berada dalam Kumpulan A bersama Filipina dan Hong Kong bag temasya kali ini.
Pada edisi 2018 di Jakarta/Palembang, Hong Kong menjuarai Sukan Asia selepas menewaskan Jepun 14-0.