NAMA Azzmi Aziz disebut-sebut sebagai calon jurulatih baharu Kuching City FC dalam mengharungi baki 10 perlawanan saingan Liga Super musim ini.

Bekas ketua jurulatih PDRM FC itu dinilai antara sosok sesuai menggantikan Irfan Bakti Abu Salim yang melepaskan jawatan disandangnya pada Selasa.

Keupayaan Azzmi tidak boleh dipersoalkan kerana ketika bersama The Cops, dia berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 15 mata yang ditetapkan pengurusan buat PDRM FC dalam pusingan pertama liga sebelum direhatkan.

Selain Azzmi, seorang lagi calon Tomas Trucha (Kelantan United) antara nama yang berada dalam radar pengurusan KUFC.

“Kami seharusnya raih keputusan seri” – Tomas Trucha

Tomas Trucha dikatakan mencuba nasib ingin membimbing KUFC.

Namun begitu, terbit suara peminat negeri itu mahukan pihak pengurusan memberikan perhatian buat tenaga anak tempatan seperti Azzmi yang lebih arif selok-belok perjalanan liga Malaysia.

Jurulatih berusia 48 tahun itu yang pernah beraksi bersama Perlis dan Selangor dikatakan terbukti memiliki sentuhan pemusnah apabila gemar menerapkan pendekatan bertahan secara berdisiplin dan bergantung kepada serangan balas pantas.

ARTIKEL BERKAITAN : Irfan Bakti dan Sulaiman Hussin letak jawatan kendali Kuching City FC

Bagaimanapun, laporan media tempatan hari ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif KUFC, Iswandi Ali Hassan memberitahu, pihaknya sudah mengenal pasti calon terbabit dan perbincangan dengan bakal pengemudi baharu itu sudah diadakan.

Beliau dalam masa yang sama memberi bayangan pengumuman ketua jurulatih baharu itu besar kemungkinan akan dilakukan sebelum perlawanan menentang Kelantan FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Jumaat ini.

Kuching City kini menghuni tangga ke-13 dalam kalangan 14 pasukan selepas mengharungi 16 perlawanan – satu menang, tiga seri, 12 kalah – enam mata.

Kali terakhir The Cats melakar kemenangan adalah pada 25 Februari lalu, ketika mengejutkan Kelantan FC, 2-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.