SATU rombakan besar telah dilakukan dalam institusi kejurulatihan Negeri Sembilan FC, menyaksikan Ketua jurulatihnya Azzmi Ab Aziz diturunkan sebagai Pengarah Teknikal pasukan.

Ia susulan keputusan NSFC yang mencatatkan enam kekalahan daripada tujuh perlawanan Liga Super dengan hanya mengutip tiga mata dan terduduk di tangga kedua tercorot ketika ini.

Susulan keputusan yang dibuat oleh pengurusan Negeri Sembilan FC, Azzmi berkongsi kepada FLASH SUKAN bahawa dia terpaksa akur akan kehendak atasan walaupun dirinya sendiri berat untuk melepaskan posisi kegemarannya.

Skuad Negeri Sembilan FC. 

Jurulatih yang baru mengendali skuad Hoben Jang Hoben musim ini turut mendedahkan bahawa dirinya akan mencari peluang terbaik untuk kembali berada dalam karier kejurulatihan, dan menerima baik buruk pasukan yang akan dikendalikannya nanti.

“Saya terpaksa pegang jawatan Pengarah Teknikal ini buat sementara. Saya tidak mahu melawan pihak atasan atau sebagainya jadi saya hadapi sahaja apa yang ditentukan buat saya.

“Sejujurnya saya memang tiada pengalaman sebagai Pengarah Teknikal. Minat saya memang dalam kejurulatihan jadi saya akan cari peluang terbaik juga nanti.

Azzmi Aziz mengaku terpaksa sandang jawatan Pengarah Teknikal buat sementara.

“Saya baru sahaja selesaikan ‘Pro License’ saya, saya bayar kos yang besar untuk itu. Jadi, tidak mungkin saya mahu lakukan tugasan lain selain jurulatih. Oleh itu, saya akan mencari peluang untuk teruskan karier jurulatih saya secepat mungkin,” ujar Azzmi ketika dihubungi pada Ahad.

Dengan keputusan rombakan dalam barisan kejurulatihan skuad Jang, posisi yang ditinggalkan Azzmi akan digantikan oleh penolongnya, K. Nantha Kumar.

Perkara ini sekali gus menyaksikan tiada kelibat Azzmi Aziz pada perlawanan malam ini antara Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.