SKUAD PDRM FC mahu mengekalkan momentum jaringan yang diperolehi ketika menang ke atas Kelantan FC untuk mengejutkan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Sabtu.

Pengendalinya, Azzmi Aziz percaya pasukannya akan memberikan aksi sehabis baik untuk memberikan saingan kepada The Red Giants dengan menekankan elemen intensiti tinggi dalam perlawanan.

Dia juga mengharapkan prestasi yang positif dari para pemainnya untuk mendapatkan keputusan positif untuk mengakhiri pusingan pertama dengan nota gembira.

“Selangor sebagai ‘King of Malaya’ adalah pasukan yang mantap. Ini adalah perlawanan terakhir untuk pusingan pertama dan saya percaya PDRM akan berikan sehabis baik untuk menyaingi pihak lawan.

“Setakat ini kami menjalani latihan berintensiti tinggi serta suasana dalam latihan juga sangat bagus dan saya harap sentuhan penyudah yang dipamerkan ketika bertemu Kelantan dapat dipamerkan dalam pertemuan ini.

“Apa yang pasti saya harap prestasi yang positif dari para pemain seterusnya kita akan mendapat keputusan yang positif,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sementara itu Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menganggap perlawanan yang sukar bakal dihadapi meskipun di atas kertas, Gergasi Merah mempunyai kelebihan dan perlu berhati-hati dengan PDRM yang dianggap sebagai ‘surprise package‘ musim ini.

Dia juga mahu para pemain dapat mengawal emosi dan mengelak dari sebarang provokasi pemain lawan bagi memastikan Selangor kekal dengan 11 pemain di sepanjang permainan dan tidak mahu mereka memandang rendah keupayaan lawan.

“Pencapaian yang baik untuk pasukan layak ke separuh akhir Piala FA tetapi perlawanan menentang PDRM dianggap sukar walaupun ‘on paper‘ kami ada kelebihan tetapi saya mahu pemain tunjukkan aksi positif dalam perlawanan ini.

Tan Cheng Hoe

“Mereka ada ‘surprised moment’ apabila menewaskan Kedah dan menang ke atas Kelantan di tempat lawan. Kedua-dua pasukan ada kelebihan kerana bermain di Stadium MBPJ dan mahu lihat satu perlawanan yang menarik dengan kehadiran ramai penyokong dan tidak boleh pandang rendah keupayaan lawan.

“Setiap perlawanan kami sebagai jurulatih sering nasihat pemain untuk pandai mengawal situasi dan elakkan kena kad merah kerana ianya akabn merugikan pasukan selain pemain perlu kawal provokasi dari pihak lawan,” kata Cheng Hoe.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu juga gembira dengan kemampuan barisannya menjaringkan gol tetapi mahu mengelak dari melepaskan gol terlalu awal kerana ianya boleh menjejaskan rentak permainan dan perlu bangkit untuk mencari jaringan penyamaan.

“Setakat ini kami bermain baik dan jaringkan gol tetapi kami juga sering bolos awal dan kami perlu elakkan perkara ini kerana ianya menjejaskan rentak permainan dan keyakinan untuk dapatkan gol penyamaan,” tambahnya.

Kemenangan akan mengekalkan Selangor di tangga kedua Liga Super manakala sebarang keputusan positif buat PDRM akan menyaksikan mereka semakin mengukuhkan kedudukan di kelompok pertengahan liga.