KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas prestasi yang tidak memberangsangkan buat skuad The Jangs.
Kekalahan dalam dua aksi Liga Super dan Piala FA pada musim ini serta pasukan itu hanya menjaringkan satu gol dalam semua kejohanan nyata menggusarkan pengendali berusia 49 tahun itu.
Azzmi mengakui, kekalahan di tangan Selangor FC dalam saingan Piala FA minggu lalu sukar untuk diterima lebih-lebih lagi dengan aksi yang ditampilkan pemainnya yang dianggap tidak fokus dan gagal mempamerkan karakter sebenar di atas padang.
“Setakat tiga perlawanan ini, apa yang saya boleh katakan, karakter dalam pasukan ini perlu lebih baik terutama apabila bertahan sebab, itu adalah punca yang kita kenalpasti.
“Bolos tujuh jaringan dalam tiga perlawanan pertama adalah sangat tidak baik dan secara teknikal barisan pertahanan tidak berjaya bermain dan menunjukkan karakter yang betul,” katanya.
Mengulas tentang prestasi pemain import, Azzmi turut menyatakan dia masih menagih kualiti dan pengalaman sebenar pemain import pasukan itu yang dilihat masih belum mempamerkan aksi yang terbaik setakat ini.
Azzmi juga memuji usaha keras pemain import seperti Takumi Sasaki, Miguel Angel Junco Martínez serta Jacque Faye namun beliau masih menantikan aksi yang lebih baik dan bertenaga di atas padang.
“Sebagai pemain import, mereka perlu berkerja lebih keras dan harus sedar saingan dalam liga ini tidak mudah,” ujar Azzmi.
Walaubagaimanapun, jurulatih berusia 49 tahun itu menyatakan, skuadnya menyedari kesilapan yang dilakukan dalam tiga perlawanan lepas dan sedang melakukan persiapan yang lebih baik untuk memburu tiga mata pertama menentang pasukan Kuala Lumpur City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Jumaat.
Azzmi dalam temubual juga berkongsi, anak buahnya perlu mendapatkan mata dalam perlawanan menentang KL City untuk mengembalikan semula motivasi sambil itu akan menjadi momentum terbaik yang akan dibawa untuk berdepan dengan Sri Pahang FC di Temerloh nanti.
“Kita tahu kita bukan dalam keadaan yang baik, namun semua pemain yang akan bermain nanti perlu sedar dengan tangunggjawab yang diberi memandangkan kita terdesak untuk mendapatkan mata dalam perlawanan ini.” tambahnya lagi.
Dia juga turut menyeru kehadiran penyokong setia Negeri Sembilan ke stadium memandangkan itu akan menjadi motivasi terbesar pemain untuk menghadapi KL City dalam misi memburu kemenangan di Paroi nanti.
Pasukan Jang akan menentang Kuala Lumpur City FC pada perlawanan liga minggu keempat esok jam 9 malam di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.