PENGENDALI PDRM FC, Azzmi Aziz mengakui taktikal bertahan yang diperagakan ketika tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah perancangan mereka sejak dari awal kerana amat bahaya untuk bermain secara terbuka.
Azzmi berkata, sikap pemain-pemainnya yang mengikut arahan taktikal mampu menyekat Harimau Selatan daripada berpesta gol.
“Kita tahu JDT adalah satu pasukan yang amat hebat. Memang kita tak boleh bermain secara terbuka menentang mereka, walau apa pun keadaan kita kena bertahan tetapi kita cuba keluar.
“Apabila kita dapat peluang dan ia hanya tiba beberapa kali sahaja tetapi saya rasa ia keputusan yang baik buat kita.
“Secara keseluruhan, ianya aksi yang baik daripada para pemain, mereka bekerja keras dalam cubaan menghalang barisan utama JDT kerana ianya bukan tugas yang mudah dan kredit perlu diberikan kepada pemain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Azzmi turut memuji aksi cemerlang penjaga gol, Hakeem Hamidun yang melakukan debut dalam Liga Super meskipun terpaksa akur dengan jaringan Fernando Forestieri pada minit ke-61 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu.
“Hakeem sebenarnya bermain untuk pasukan PDRM B-23. Kita cuba lakukan penggiliran pemain pada hari ini untuk beri dia peluang bermain di Liga Super kerana dia sangat bagus bermain di saingan Piala MFL.
“Kami berikan dia peluang untuk menambah minit permainan dan dia ambil peluang ini dengan sangat baik dan menggunakan kesempatan ini untuk menunjukkan kualitinya,” tambahnya sambil berharap pasukan ini akan terus berkembang baik.