KETUA Jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz mahu para pemainnya lebih tajam di hadapan gawang bagi memastikan tiga mata dapat dikutip dalam kunjungan mereka ke Kota Bharu apabila bertemu Kelantan FC dalam aksi Liga Super pada Selasa.

Skuad Sang Saka Biru hanya berjaya menjaringkan lapan gol sahaja selepas berakhir 11 perlawanan dan kegagalan menyudahkan peluang masih menghantui pasukan selepas tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC di Kelana Jaya pada Khamis.

Walaupun bakal berhadapan lawan yang bergelut dengan pelbagai isu, namun Azzmi tetap menghormati Kelantan sebagai pasukan yang baik dan mahu para pemainnya tetap berhati-hati dalam misi mencari kemenangan selepas lima kekalahan berturut-turut.

“Kami faham Kelantan sedang bergelut dengan pelbagai isu tetapi kami tetap menghormati mereka sebagai lawan yang baik. Mereka juga seperti kami mempunyai masalah menjaringkan gol tetapi dari segi jumlah jaringan gol, mereka ada lebih gol berbanding kami.

“Harapan saya kami dapat gunakan kesempatan ini untuk mengutip tiga mata penuh namun para pemain perlu berhati-hati kerana bukan senang untuk bermain di laman lawan. Musim juga masih panjang dan saya berharap pasukan ini akan terus meningkat dari masa ke masa,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sementara itu pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt pula mahu menggunakan perlawanan menentang PDRM ini sebagai medan terbaik untuk mengutip tiga mata dan membina momentum sebelum bertemu Kelantan United untuk keluar dari kelompok bawahan liga.

“Perlawanan menentang PDRM ini adalah penting untuk kami mendapatkan mata kerana jika tidak berjaya ianya akan mendatangkan kesukaran buat kami untuk keluar dari kelompok bawahan liga,” katanya.