PENGURUS pasukan Bawah 17 Tahun negara Christopher Raj mengambil tanggungjawab penuh kegagalan skuad muda Malaysia ke Piala Asia dengan meletak jawatan sebagai pengurus serta merta.

Menurut Christopher, perjuangan skuad muda negara B-17 menemui jalan noktah ke Piala Asia apabila diikat Laos 2-2 pada Ahad.

“Sehubungan itu, saya selaku Pengurus Pasukan mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan ini dengan mengundur diri dan melepaskan jawatan sebagai Pengurus Pasukan B-17 serta merta.

“Melepaskan jawatan sebagai Pengurus Pasukan B-17 ini adalah jalan yang terbaik untuk membuka peluang kepada muka baharu menggalas tanggungjawab membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi sehingga mencapai misi ke Piala Dunia.

“Kita memulakan kempen dengan tunduk kepada UAE (Emeriah Arab Bersatu) 0-2 sebelum diikat 2-2 kepada tuan rumah, Laos pada Ahad, sekaligus terlepas tiket ke Piala Asia 2025 apabila mengakhiri saingan peringkat Kumpulan H dengan satu mata di tangga kedua.

Pasukan Bawah 17 Tahun Malaysia

“Kegagalan ini amat pahit untuk ditelan dan amat sedih apatah lagi kita tidak dapat mengulangi kejayaan tahun lalu, yang mana skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Christopher yang juga merupakan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut meluahkan penghargaan terima kasih badan induk bola sepak negara ini termasuk Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin di atas peluang, sokongan dan pengalaman berharga.

ARTIKEL BERKAITAN: Christopher Raj ‘angkat kaki’ jika B-16 gagal ke final Piala Asia 2025

“Saya amat menghargai segala peluang yang telah diberikan kepada saya dan pengalaman berkhidmat untuk negara ini adalah sesuatu yang amat membanggakan buat saya yang tidak mungkin akan dapat saya lupakan.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada kesemua pemain teutama ibu bapa pemain yang banyak berkorban memberi sokongan sebagai pemain ke-12 di Laos dan juga dalam semua perlawanan-perlawanan Pasukan Kebangsaan B-17 sepanjang saya berkhidmat.

Aksi pemain negara ketika berdepan dengan Laos pada Ahad.

“Terima kasih kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnel dan juga Pengarah Teknikal NFDP, Oscar Francisco Gonzalez.

“Tidak lupa juga terima kasih buat jurulatih, Javier Jorda Ribera dan kesemua pegawai kejurulatihan B-17 dan semua pihak yang membantu kami.

“Meskipun diakui masih banyak yang perlu pasukan perbaiki tetapi saya yakin muka baharu yang menggantikan tempat saya nanti mampu menjalankan tanggungjawab lebih baik.

“Terima kasih dan Selamat Maju Jaya buat Pasukan Kebangsaan B-17,” jelasnya.