KETUA Jurulatih Bawah 17 Tahun Kebangsaan Osmera Omaro agak kecewa dengan aksi perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 2 selepas kalah kepada Uzbekistan.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM itu menyaksikan pasukan muda negara tewas 2-3 kepada skuad kendalian Rakhmatullaev Jamoliddin.
“Kecewa dengan permainan. Masih banyak yang kena buat terhadap kelemahan yang ada. Tapi dah tak ada masa dan kita akan cuba buat dalam tempoh pendek ini.
“Kita tahu Uzbekistan adalah pasukan yang kualiti dan dalam top group. Sekurang-kurangnya kita cuba.
“Kita hilang fokus pada separuh masa kedua sebelum dapat balik (rentak). Saya rasa gol yang mudah kita bagi kepada mereka,” jelasnya selepas perlawanan.
Pada aksi tersebut skuad negara dikejutkan dengan jaringan pasukan pelawat pada minit ke-12, Mirzaev Lazizbek sebelum Farish Danish Mohd Asrul menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
Manakala babak kedua pula menyaksikan skuad negara gagal mengejar serangan pihak lawan apabila Uzbekistan menyumbat dua lagi gol menerusi Uktamov Ozodbek (m-66) dan Karimov Ollabergan minit ke-70, manakala Muhammad Ryan Fahreen berjaya merapatkan kedudukan minit ke-79.
Keputusan tersebut kekal hingga ke wisel akhir.
Jumaat ini skuad muda negara bakal bertemu satu lagi aksi persahabatan antarabangsa bertemu Arab Saudi (B-17) sebelum terbang ke Thailand bagi menghadapi saingan Piala Asia B-17 Tahun.
Malaysia di Kumpulan A bersama negara Yemen, Laos dan pasukan tuan rumah, Thailand.
Jika layak ke peringkat lapan terbaik, lawan yang dijangka menanti adalah tiga pasukan terkuat benua ini dari Kumpulan B antara Korea Selatan, Qatar atau Iran, dengan Afghanistan melengkapkan kumpulan itu.
Malaysia bakal mengharungi saingan Piala Asia B-17 2023 ini dengan empat tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia B-17 2023 November ini menjadi rebutan.