PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin hanya mahu menggenggam pingat emas pada temasya Sukan SEA 2021 yang bakal memulakan saingan di Hanoi, Vietnam hujung minggu ini.
Luqman,20, yang beraksi bersama kelab Belgium KV Kortrijk ini berulang kali berkongsi keinginan skuad Bawah 23 Tahun negara yang dikendalikan Brad Maloney ini untuk meraih pingat emas.
“Harapan saya dan pasukan adalah pingat emaslah. Bagi saya tak ada gangsa, tak ada perak… kita target emas sahaja.
“Saya percaya dengan satu pasukan. Kita buat yang terbaik, jadi ‘kita orang’ semua nak emas,” jelasnya ketika ditemui media ketika sesi latihan terakhir pasukan pada Selasa.
Tambah Luqman, dia yakin sasaran ini akan dicapai kerana tiada masalah untuk berbuat demikian kerana semua pemain mempunyai persefahaman yang baik.
“Bagi saya tak ada masalah. Semua beri persefahaman yang baik. Satu team pun mesra, dengan coach pun tak ada masalah.
“Team semua dah prepare yang terbaik. Kita dah main dengan Timor Leste dan Filipina. Dengan perlawanan persahabatan ini kita dapat persefahaman yang baik,” jelasnya.
Malaysia berada dalam Kumpulan B dijadualkan untuk berhadapan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh. Hanya dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.