KETUA jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) Brad Maloney mengakui cabaran besar apabila sesi latihan persiapan ke Sukan SEA, Hanoi Mei ini kerana masih tidak lengkap dengan kehadiran pemain.
Sejak dua sesi latihan yang bermula Selasa lalu, hanya lima pemain sahaja yang hadir melaporkan diri berikutan pemain-pemain masih terikat dengan kelab masing-masing beraksi di Liga Premier dan Liga Super.
Bagaimanapun pengendali kelahiran Australia itu yakin kesemua pemain yang dipanggil dapat melaporkan diri paling lambat pada 1 Mei ini.
“Sebaik sahaja ramai pemain tiba, kami akan mengubah corak latihan.
“Saya jangkakan semua akan berada di sini paling lewat pada 1 Mei ini.
“Ia sangat mencabar dengan sekeliling persiapan ini,” jelasnya ketika sesi latihan kedua di Wisma FAM pada Rabu.
Dua pemain yang dipanggil berpengkalan di luar negara, Muhammad Hadi Fayyadh (Azul Claro Numazu) dan Luqman Hakim (KV Kortrijk) akan melaporkan diri pada 25 dan 29 April ini.
Manakala lima pemain yang telah melaporkan diri ialah Sikh Izhan Nazrel Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Hakimi Azim Rosli.
Malaysia dijadualkan untuk berhadapan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh. Hanya dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.
Sebelum itu, skuad Maloney dijadual akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang B-23 Timur Leste pada 23 dan 29 April, dan B-23 Filipina pada 1 Mei, sebelum memuktamadkan senarai terakhir 20 pemain untuk ke Hanoi pada 4 Mei.