“IBARAT bulan jatuh ke riba”
Demikianlah ungkapan paling tepat menggambarkan situasi yang dialami arkitek tengah Johor Darul Takzim, Shahrul Mohd Saad setelah pasukannya merangkul kejuaraan Piala FA 2022 pada Sabtu.
Sebelum ini, dia terpaksa berdepan dengan masalah gaji ketika bersama pasukan Perak FC yang terus membelenggu para pemain untuk menampung kehidupan masing-masing.
Semalam, Shahrul menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana menawarkannya menyertai kelab terbaik di rantau Asia Tenggara ketika ini.
Pemain berusia 29 tahun itu berazam melengkapkan tiga kejuaraan dalam saingan domestik bersama skuad Harimau Selatan musim ini dengan Piala Malaysia dan Liga Super yang masih dalam pertaruhan.
“Saya hendak berterima kasih dengan TMJ kerana memberi peluang untuk saya mewakili pasukan Johor.
“Daripada saya mengalami kecederaan hingga dapat tempat dalam kesebelasan utama dan mampu berikan yang terbaik untuk pasukan Johor.
“Mencapai kejayaan hari ini memang satu perkara yang membanggakan saya dan kami akan terus untuk melakukan sejarah buat pasukan Johor.
“Secara peribadi, memang saya inginkan sebab saya rasa pasukan Johor belum memenangi treble lagi tetapi mungkin itu adalah sasaran untuk pasukan Johor tahun ini dan kami akan bermati-matian untuk saingan liga dan juga Piala Malaysia,” ujarnya kepada media selepas JDT dinobatkan sebagai juara.