TERLEPAS peluang mencatat kejuaraan dalam dua kejohanan berturut-turut, Lee Zii Jia mempertimbangkan tempoh berehat, dan memberi bayangan untuk tidak menyertai Terbuka Perancis yang akan bermula esok.

“Sejujurnya, saya masih 50-50 untuk ke Terbuka Perancis kerana ini sudah minggu ketiga (Oktober), badan semakin penat.

“Saya akan bincangkan dengan pasukan saya sama ada saya cukup cergas untuk bermain lagi minggu ini atau tidak,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tewas kepada Weng Hong Yang dari China, di final Terbuka Denmark semalam.

Selepas menjuarai Terbuka Arctic di Finland hujung minggu lalu, Zii Jia berpeluang mempamerkan kebangkitan prestasi untuk kejuaraan kedua berturut-turut, namun tunduk kepada Hong Yang 12-21, 6-21.

Sepanjang Oktober, Zii Jia beraksi dalam dua acara iaitu berpasukan lelaki dan perseorangan lelaki di Sukan Asia Hangzhou, terus ke Terbuka Arctic di Finland, Odense Denmark dan dijadual mengambil bahagian di Terbuka Perancis.

“Selepas ini ada dua kejohanan besar lagi, Masters China dan Terbuka Jepun, jadi kami perlu buat keputusan terbaik.”

Terbuka Perancis akan bermula esok, manakala Terbuka Jepun pada 14 hingga 19 November dan China Masters pada 21 hingga 26 November hadapan.

Berdasarkan kalendar BWF, bulan November mempunyai dua kejohanan Jelajah Dunia yang besar iaitu Terbuka Jepun dan Masters China.

Terbuka Perancis berstatus Super 750, Jepun (Super 500) dan Masters China (Super 750).

Mungkin ramai pihak mempersoalkan kekalahan di set kedua yang menyaksikan Zii Jia hanya meraih di bawah 10 mata, namun hakikatnya Hong Yang terlalu hebat sepanjang minggu, menyingkir pilihan keenam yang juga senegaranya, Shi Yu Qi di separuh akhir dengan kemenangan straight set, 21-19, 21-14.

“Dia bermain dengan baik, saya tak dapat buat apa-apa walau cuba bangkit tapi permainan dia sangat konsisten,” kata Zii Jia mengulas mengenai kekalahannya kepada Hong Yang.