KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar masih tidak mahu mendedahkan hala tuju kariernya selepas mengakhiri perlawanan terakhirnya bersama pasukan Sang Badak ketika menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Namun dia juga turut menafikan bahawa dia akan berhenti daripada bermain bola sepak sebaliknya berkata perlawanan pada Sabtu itu bukanlah penamat kariernya dalam sukan berkenaan dan tetap akan bermain bola sepak namun dia perlu melaksanakan satu misi yang belum dapat didedahkan pada masa ini.

“Pada malam ini bukan perlawanan terakhir saya dalam karier bola sepak. Saya tetap akan bermain selepas ini tetapi saya ada satu misi yang saya ingin lunaskan. Jadi, saya mengharapkan penyokong Sabah FC mendoakan kejayaan saya selepas ini,” katanya pada sidang media khas selepas perlawanan.

Perancang berusia 35 tahun itu juga berkata dia atau pihak pengurusannya akan memaklumkan kepada umum tentang hala tujunya selepas ini dalam masa terdekat.

“Mungkin dalam masa terdekat saya ataupun pihak pengurusan akan mengumumkan ke mana arah tuju selepas perlawanan malam ini,” katanya.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu juga menyifatkan perlawanan terakhirnya bersama Sabah FC ini sebagai salah satu peristiwa yang indah dan tidak dapat dilupakan dalam kariernya.

“Saya bersyukur pada malam ini kami berjaya meraih tiga mata yang penting dalam perlawanan terakhir saya. Ia satu kemenangan yang tidak akan saya lupakan dan satu momen indah yang saya terima di sini,”

“Saya juga perlu berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC dan jurulatih yang banyak membentuk pasukan ini dan saya mengharapkan perjuangan pasukan dapat diteruskan lagi ke tahap lebih tinggi dan membawa nama Sabah ke tahap yang begitu gah lagi dan saya mendoakan kejayaan di Piala AFC nanti,” jelasnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir pula dia bagi pihak pengurusan dan peminat Sabah FC ingin mengucapkan terima kasih atas khidmat Baddrol selama kira-kira dua tahun berjuang dengan pasukan ini.

“Dia telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi untuk membawa Sabah bermain ke peringkat yang lebih baik lagi. Buat masa ni saya dan Datuk Ong Kim Swee masih berbincang untuk calon pengganti Baddrol tetapi setakat ini belum ada lagi,” katanya dalam sidang media yang sama.

Sejak menyertai Sabah dari Kedah, Baddrol telah melakukan 41 penampilan dan menjaringkan 13 gol sepanjang dua musim dan kini dia bakal dikenang sebagai salah seorang legenda pasukan Sabah.