KAPTEN pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar menepis desas-desus yang mengatakan dia akan meninggalkan kelab itu selepas dia memuat naik video hitam putih seakan-akan memberikan petanda yang tidak digemari penyokong Sang Badak.

Dia juga kini sedang fokus bersama pasukan untuk menghadapi perlawanan pembukaan Piala Malaysia menentang UiTM FC pada Rabu dan yakin akan kemampuan teman sepasukannya.

Selain itu, bekas pemain tengah kebangsaan itu juga menyeru penyokong Sabah tidak kira di mana jua mereka berada untuk tetap berada di belakang pasukan dengan hadir ke stadium.

Baddrol Bakhtiar

“Video itu menggambarkan keharmonian dan kerja keras kami berpasukan tahun ini. Ianya dihasilkan oleh media Sabah FC dan bagi saya ianya adalah satu video yang sangat bermakna buat para pemain dan juga untuk meningkatkan semangat buat para penyokong Sabah.

“Untuk perlawanan menentang UiTM FC, persiapan kami berjalan seperti biasa meskipun kekurangan pemain import yang mengalami kecederaan namun siapa pun pemain tempatan yang diturunkan mampu menggalas cabaran yang ditugaskan.

“Pemansuhan peraturan gol di tempat lawan ini perlu diambil dari sudut positif untuk mengelakkan tekanan kepada kami dan bagi Sabah FC setiap perlawanan itu sangat penting dan berharap dapat membawa keputusan positif balik ke Likas.

“Kami mengharapkan penyokong teruskan menyokong kami terutama di Lembah Klang esok (Rabu) dan tidak kira di mana juga kami bermain sama ada di utara, selatan mahupun Pantai Timur tetapi yang paling penting ketika kami beraksi di Likas,” jelasnya ketika ditemui Flash Sukan.

Sabah FC yang mengakhiri Liga Super di tangga ketiga kini akan menjadikan kempen Piala Malaysia bagi merebut satu lagi tiket ke Piala AFC 2023 yang ditawarkan kepada juara kejohanan tertua Asia Tenggara ini.