REHAT panjang dari kejohanan menampakkan banyak kelemahan dan antara yang terjejas, pastinya jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia.
Masalah konsistensi terus menghantuinya apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Perancis awal pagi tadi, di gelanggang yang bakal menjadi venue kejohanan di Olimpik Paris nanti.
Pemain ranking ke-10 dunia itu dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain Denmark yang menduduki ranking ke-33, Magnus Johannesen dalam pertarungan straight set 15-21, 19-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.
Begitupun, kekalahan itu diakui bekas juara Seluruh England terbabit, berpunca dari kesilapan mudah yang dilakukannya dalam selain tidak sabar mahu mematikan bola.
“Tidak cukup sabar dan melakukan banyak kesilapan mudah. Pukulan pertahanannya membuatkan saya hilang keyakinan.
“Saya tidak dapat mengawal permainan sepanjang perlawanan berlangsung kerana Magnus bermain dengan sangat baik hari ini, sejak dua tahun lalu dia menghasilkan keputusan yang baik dan berjaya melakukan beberapa kejutan ke atas pemain utama. Dia menunjukkan peningkatan prestasi yang cukup baik,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Keputusan itu jelas di luar jangkaan selepas Zii Jia mudah mengatasi Johannesen 21-11, 21-5 ketika pusingan pertama Terbuka Jerman pada Mac tahun lalu yang juga pertemuan pertama antara kedua-dua pemain.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan badi tersingkir di pusingan awal di Terbuka Perancis terus menghantui Zii Jia semenjak kali pertama menyertainya pada 2019.
Sementara itu, Johannesen jelas gembira dengan kejayaan menewaskan Zii Jia yang menjadi kemenangan pertamanya dalam saingan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.
“Saya bermain dengan baik, saya mengikut semua strategi permainan dan membuat keputusan dengan tepat.
“Tahun lalu, saya tewas dengan jurang yang besar kepada Zii Jia. Ketika itu ia adalah salah satu pertemuan pertama saya dengan pemain utama dunia.
“Sejak itu, saya berpeluang menentang pemain seperti Viktor Axelsen (Denmark) dan Shi Yu Qi (China). Jadi, ia satu pencapaian yang besar untuk saya dengan kemenangan hari ini,” katanya.
Selepas ini, Zii Jia akan mengalihkan fokus kepada saingan Seluruh England yang bermula dari 12 hingga 17 Mac ini.
Dia berdepan ujian getir apabila dijadual menentang pemain nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama.
Naraoka bagaimanapun turut mengalami nasib sama dengan Zii Jia apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas mengejut di tangan pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-14, 20-22, 17-21.