SKUAD badminton lelaki negara cuba mengalihkan gunung, namun tidak berjaya kerana hakikatnya Indonesia sebuah pasukan yang lebih kuat dan berpengalaman.
Pada aksi akhir badminton berpasukan Sukan SEA Kemboja hari ini, pemain negara yang diketuai Leong Jun Hao, bermula dengan baik menerusi kemenangan dicapai Jun Hao, biarpun jika dibandingkan ranking setiap pemain lawan jauh lebih tinggi.
Berdepan Chico Aura Dwi Wardoyo yang berada di ranking ke-19 dunia, Jun Hao tidak menghiraukan statusnya yang berada jauh di kedudukan ke-64, mempamerkan aksi bertenaga dan menghadiahkan mata pertama dengan kemenangan 21-16, 21-13.
Sebaik Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe turun dengan misi menjadikan kedudukan 2-0, ternyata pasangan negara di ranking ke-76 dunia itu tidak mampu menampilkan aksi sehebat pasangan ke-14 dunia, Muhammad Sohibul Fikri-Bagas Maulana.
Mereka tewas 12-21, 20-22 dalam masa 39 minit.
Perseorangan kedua Lee Shun Yang yang diharap mencipta kejutan, sebaliknya tunduk layu 17-21, 9-21 di tangan Christian Adinata.
Ketinggalan 1-2, harapan terakhir negara, Chia Weijie-Liew Xun yang menghuni ranking ke-80 dunia, cuba melakukan kejutan.
Berdepan pasangan nombor 33 dunia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Rambitan, mereka menguasai set pertama hingga menang 21-13, sebelum tewas dua set berikutnya 16-21, 16-21.
“Sebenarnya di set kedua, kami main bagus juga tetapi pemain lawan lebih baik daripada kami hingga kami melakukan kesilapan mudah.
“Di set ketiga pula, kami cuba kekal fokus, mengambil satu persatu mata dan tidak mahu terlaluy banyak berfikir,” kata Weijie, kecewa tidak dapat menyumbang mata buat pasukan negara, sekali gus mahu mengheret perlawanan ke perseorangan terakhir.
Biarpun mengakui lawan lebih berpengalaman dan bagus dalam mengatasi tekanan, Weijie yakin mereka ada peluang dan perlu menterjemahkannya pada aksi individu nanti.
Kekalahan kepada Indonesia bermakna, pasukan lelaki mengulangi pencapaian pingat perak yang dimenangi di Hanoi, tahun lalu.