PEMAIN badminton mendominasi senarai atlet dalam program Road to Gold (RTG) yang diwujudkan bagi menjelmakan kilauan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Daripada 15 atlet yang tersenarai dalam program RTG, 11 daripadanya wakil sukan badminton iaitu pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik selain pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan dan M Thinaah.

Turut tersenarai tiga beregu profesional iaitu satu wakil dalam beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan dua pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Selain badminton, atlet sukan lain yang tersenarai ialah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua wakil sukan terjun iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata kesemua atlet yang disenaraikan itu dipilih berdasarkan dua kriteria utama yang ditetapkan jawatankuasa RTG iaitu pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

“Kita juga ada kriteria tambahan yang mana atlet podium sedia ada yang menunjukkan peningkatan yang sangat-sangat baik yang wajar dipertimbangkan case by case untuk dimasukkan dalam projek RTG.

Jawatankuasa RTG bermesyuarat kali pertama semalam.

“Senarai ini dijangka berubah apabila kejohanan kelayakan ke Paris bermula dan tertakluk kepada persetujuan RTG dan reviu serta pemantauan berkala.

“Setiap permainan ada tempoh waktu kelayakan yang berbeza, jadi sebab itu kita kena tengok sukan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Menara KBS pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya masih belum dapat menganggarkan bajet keseluruhan bagi program RTG memandangkan jawatankuasa masih belum mengadakan pertemuan dengan atlet bagi membincangkan bentuk bantuan dan keperluan mereka.

Katanya, segala kos perbelanjaan Program RTG hanya akan diketahui selepas pertemuan bersama atlet dilakukan dan dikemaskini serta dipersetujui oleh jawatankuasa RTG.

“Kenapa kita tidak boleh beritahu sekarang adalah kita kena kira kos perbelanjaan terlebih dahulu untuk keperluan atlet. Sebagai contoh atlet itu meminta sokongan dari segi jurulatih atau dari rawatan kecederaan.

“Penyelaras beserta Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Mirnawan Nawawi akan memulakan pertemuan bersama atlet RTG dan jurulatih dalam masa sebulan untuk mendengar keperluan tambahan yang diperlukan mereka dan mendapatkan persetujuan serta komitmen mereka untuk mengikuti program RTG ini,” katanya.