JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mudah menundukkan pemain dari Portugal, Bernardo Atilano dengan kemenangan 21-9, 21-13 pada saingan Kejohanan Badminton Dunia di Jepun.
Suasana ceria tersebut berterusan dalam kategori beregu lelaki apabila gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetepikan saingan Lu Ching Yao-Yang Po Han juga dengan keputusan 22-20, 21-18.
Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin juga tidak berdepan masalah apabila mudah membenam cabaran pasangan kurang ternama dari Ireland, Paul Reynolds-Joshua Magee 21-13 21-12.
Beregu campuran turut cemerlang apabila gandingan Goh Soon Huat – Shevon Jamie Lai berjaya mengatasi pasangan England, Gregory Mairs-Jenny Moore 21-13 21-18.
Dalam pada itu, aksi beregu wanita pula memperlihatkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, Pearly Tan – M. Thinaah terus mempamerkan konsistensi apabila turut menewaskan pasangan India, Treesa Jolly-Pullela Gayatri Gopichand 21-8 21-17.
Bagaimanapun, empat lagi wakil negara terpaksa mengucapkan ‘ Sayonara’ apabila ditunjukkan jalan keluar pada hari ketiga saingan yang dilangsungkan di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi.
Bagi kategori beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa menelan kepahitan meskipun mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila tewas straight set 20-22, 20-22 kepada gandingan Singapura, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean.
Mengikuti jejak langkah mereka adalah pasangan veteran, Goh V Shem – Tan Wee Kiong yang turut tewas 18-21 21- 23 kepada duel dari Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhede.
Dalam perkembangan perseorangan wanita pula, nasib malang turut menimpa Sonia Cheah apabila tersungkur di tangan pemain China, Chen Yu Fei 17-21 15-21.
Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing meneruskan hari suram tiga wakil kebangsaan yang lain, apabila turut gagal menyaingi gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jong sekaligus tumpas 13-21 12-21.