BERITA baik buat peminat tegar badminton tanah air, anda berpeluang menonton aksi pemain antarabangsa di Bergamot KL Masters Super 100, di Stadium Titiwangsa 31 Oktober hingga 5 November ini.
Lebih menarik, penaja utama kejohanan, Bergamot membuat tawaran istimewa, iaitu setiap pembelian satu tiket akan mendapat satu tiket percuma bermula esok hingga 30 Oktober (24 – 30 Oktober).
Menjadikannya lebih gempak, tawaran beli 1 dapat 1 ini membabitkan pelbagai kategori kecuali tiket Premium Final (5 November).
Persatuan Badminton Kuala Lumpur (PBKL) dalam satu kenyataan berkata, bagi pembeli tiket Premium Final pula, mereka berpeluang bergambar secara eksklusif bersama juara kejohanan dan peluang terbuka kepada 50 pembeli bertuah.
Kejohanan yang berada dalam kalendar Persekutuan Badminton Malaysia (BWF) itu dianjurkan PBKL, turut menawarkan mata kelayakan Jelajah Dunia Akhir dan mata untuk ke Olimpik Paris, berjaya menarik penyertaan antarabangsa termasuk pemain meningkat naik negara, Leong Jun Hao dan K Letshanaa.
Pemain antarabangsa lain yang akan turut serta termasuk Jeon Hyeok Jin (Korea Selatan), Sai Praneeth (India) Thet Htar Thuzar (Myanmar) dan juara remaja dunia baharu dari Thailand, Pitchamon Opatniput.
Sepanjang kejohanan berlangsung, penganjur juga merancang Festival Makanan Malaysia yang akan bermula di peringkat suku akhir (3 November), meraikan kebudayaan dan pelancongan Malaysia.
KL Masters yang diletakkan di bawah Jelajah Dunia BWF Super 100 menawarkan hadiah keseluruhan AS$100,000 (RM478,499).