KECEWA dengan prestasi juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pengarah kejurulatihan beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berang apabila melihat gandingan harapan itu beraksi tanpa ‘jiwa’.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, prestasi dipamerkan gandingan nombor tiga dunia itu tidak menepati status mereka sebagai pasangan berkelas dunia.

“Kita lihat di set pertama, macam orang tak ada ‘soul’, main belasah-belasah macam takde ‘regret’, hanya tunggu pemain lawan buat kesilapan,” kata Rexy.

Rexy Mainaky kecewa dengan prestasi dipamerkan Aaron-Wooi Yik

Pada perlawanan pusingan kedua semalam, Aaron-Wooi yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat Terbuka Malaysia 2023, tewas kepada gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23 dalam pertarungan selama 41 minit.

Dalam nada kecewa, Rexy berkata: “Pemain yang sudah berkelas dunia perlu ada tanggungjawab.. di pihak jurulatih dan pengurusan sudah memberi sokongan sepenuhnya, tapi tanggungjawab perlu ada pada setiap pemain, apabila menyertai kejohanan perlu tunjuk mahu capai kemenangan, kalau kalah biar orang respek.”

“Tapi dalam set pertama, main seperti mengikut sahaja lawan punya pukulan dan menunggu pemain buat kesilapan sendiri.”

Pada set pertama menentang gandingan China semalam, Aaron-Wooi Yik ketinggalan 4-13 dan Rexy menyifatkan pemain itu bagai tiada komitmen dan kekal bertahan.

“Bila pemain lawan ‘leading’ jauh, mereka tak benarkan Aaron-Wooi Yik kejar, tapi bila pemain kita leading jauh, kita bagi mereka kejar,” kata Rexy merujuk kepada set kedua, ketika Aaron-Wooi Yik mendahului 12-3 di set kedua, sebelum tewas 21-23.

Justeru, Rexy yang juga bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1996 berkata, sebelum kejohanan bermula, satu pertemuan antara pemain, jurulatih dan pengurusan berlangsung dan masing-masing menyatakan keinginan dan kesungguhan.

Memandangkan beraksi di gelanggang sendiri, Rexy menyifatkan tidak seharusnya mudah dijinakkan pemain China yang berada di ranking keenam dunia.

“Seharusnya bermain di laman sendiri dengan situasi seperti ini, harus ada konfiden. Kalau lepas (perlawanan itu), mereka ada peluang untuk pergi jauh, cuma pemikiran mereka itu sama ataupun tidak.