MENGAKUI bosan dengan kekalahan demi kekalahan, perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tetap berbangga kerana dirinya tidak pernah berputus asa.
Tewas kepada Lu Guang Zu dari China pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 pada Selasa, pemain ranking ke-12 dunia itu, mengakui tiada alasan yang boleh diberikannya lagi.
“Setiap hari ada yang menang dan kalah, saya juga benci untuk tampil di sini dan menjawab… kalah lagi, nak cuba lagi dan ‘comeback stronger’ (bangkit semula), asyik nak cakap yang sama, bosanlah,” kata Zii Jia, sejurus tamat perlawanan pusingan pertama.
Pada perlawanan itu, Zii Jia tewas kepada Guang Zu 21-16, 19-21, 15-21 dalam aksi yang berlangsung 1 jam 17 minit.
Begitupun, dia berasa ada perkara positif dalam dirinya iaitu tidak berputus asa dan tidak pernah gagal menjalani latihan.
“Apa yang jurulatih bagi, saya sahut dan apa yang saya cari, saya akan terus bersabar.
“Mungkin suatu hari nanti, saya akan berdiri di sini boleh cakap macam itu di sini (saya sudah berjaya).”
Kekalahan Zii Jia itu bermakna, dia mengulangi prestasi sama seperti tahun lalu apabila tewas di pusingan awal selepas disingkir pemain Jepun, Kodai Naraoka.
Selepas ini, Zii Jia akan beraksi di Terbuka India (16-21 Januari) diikuti Indonesia Masters (23-28 Januari).