HARAPAN melihat perseorangan lelaki negara di pusingan kedua Terbuka Malaysia berakhir, apabila Ng Tze Yong mengalami kecederaan belakang ketika melakukan smash, sewaktu menentang pemain Jepun, Koki Watanabe di pusingan pertama pada Rabu.
Pemain negara yang berada di ranking ke-15 dunia itu, tidak mampu meneruskan perlawanan, terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 8-12, dalam set pertama.
“Ketika melakukan smash tadi, saya berasa sangat sakit pada belakang, sekarang pun sangat.
“Sebaik saya smash tadi, belakang saya jadi kejang dan tak boleh bergerak,” kata Tze Yong, ketika menemui media sejurus selepas perlawanan.
Insiden itu berlaku ketika kedudukan terika 7-7 dan kedua-dua pemain memberikan aksi sengit bagi mendapatkan mata kelapan.
Ketika melihat peluang mematikan bulu tangkis, Tze Yong melakukan lompatan dan melepaskan smash kencang, dan ketika itulah dapat dilihat dia dalam kesakitan, apabila tidak selesa membalas pukulan net dari Watanabe, lalu mata kelapan diperoleh lawan.
Ketinggalan 7-8, Tze Yong berjalan keluar dari gelanggang dalam keadaan tidak selesa sebelum meminta kebenaran pengadil untuk mendapatkan rawatan.
Selepas menerima rawatan, dia kembali meneruskan permainan sehingga rehat sebelum menarik diri ketika ketinggalan 8-12.
Sementara itu, Tze Yong mengakui tidak pernah mengalami kecederaan belakang.
“Kecederaan sebegini sememangnya bukan yang dimahukan pemain,” ujar Tze Yong.
Tze Yong yang kini menjalani latihan fizikal bersama jurulatih Mohd Roesdi Ab Ghani, belum dapat mengesahkan penyertaannya di Terbuka India minggu hadapan.
Latihan bersama jurulatih fizikal sejak Ogos tahun lalu itu, bertujuan meningkatkan tahap kecergasan, impulsif, eksplosif, aerobik dan anaerobik pemain berusia 24 tahun itu.
Mengikut undian, pemain negara itu dijangka berdepan Watanabe lagi sekali, di pusingan pertama Terbuka India.
Pada Mac tahun lalu, Tze Yong mengalami kecederaan peha dan menarik diri daripada perlawanan.