GANDINGAN lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengambil pendekatan berhati-hati apabila mereka berdepan pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di pusingan kedua Terbuka Malaysia esok.

Menurut Yew Sin, mereka sedar ia bukan mudah berdepan dengan pasangan nombor lima dunia itu yang mempameran peningkatan mendadak sejak enam hingga sembilan bulan kebelakangan ini.

“Saya rasa mereka berada pada prestasi terbaik namun kami sedia untuk memberikan tentangan sengit agar kemenangan berpihak kepada kami selepas ini,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan Yew Sin-Ee Yi yang menghuni ranking ke-12 dunia, ketinggalan 1-2 dalam aksi sebelum ini apabil tewas dalam dua pertemuan terakhir di Kejohanan Dunia dan Terbuka Denmark tahun lalu.

Kali terakhir mereka menang ke atas Astrup-Skaarup Rasmussen pada pusinga kedua Terbuka China selepas mencatat kemenangan 21-18, 14-21, 25-23.

Dalam masa sama Yew Sin mengakui mereka mengharapkan sokongan padu penyokong yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu walaupun mereka sedang ketinggalan Axiata Arena.

“Saya sentiasa berasa teruja apabila beraksi di gelanggang sendiri dan lebih bersemangat apabila mendapat sokongan daripada peminat tempatan,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Ee Yi turut mengakui sangat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan penyokong sehingga membolehkan mereka mencatat kemenangan straight set ke atas Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-14, 21-15 di pusingan pertama semalam.

“Terima kasih kerana datang memberikan sokongan kepada kami. Kami memang tidak mahu mengecewakan mereka. Kami sendiri juga berpuas hati dengan persembahan pusingan pertama dan menikmati perlawanan sebaik mungkin,” katanya yang mengakui kecederaan lutut kanannya sudah semakin sembuh.

Ditanya mengenai perlumbaan ke Sukan Olimpik Paris 2024, Yew Sin mengakui sekarang ini mereka hanya fikir untuk bertarung dengan diri sendiri tanpa perlu mengharapkan pesaing terdekat.

“Paling penting kami sendiri perlu beraksi dengan lebih baik dulu (kelayakan Olimpik),” kata pemain kelahiran Melaka itu.