GOH Jin Wei yakin mampu membuat perancangan baik untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu, Jin Wei, 23, berlatih di Sports Affairs Badminton Akademi, bersama dua lagi pemain perseorangan lelaki Soong Joo Ven dan Cheam June Wei, dan berjaya menampakkan kesan di peringkat antarabangsa.

Malah pada aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia hari ini, Jin Wei mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya menumpaskan pemain ranking ke-26 dunia, Yvonne Li straight set 21-11, 21-18.

“Sangat-sangat sengit, saya ingat kita main sampai set ketiga tetapi saya agak bertuah. Saya pun sudah bersedia nak tukar gelanggang.

“Saya terlampau bernafsu dan mental saya agak terganggu (set kedua) menyebabkan saya kehilangan fokus. Tetapi saya tetap teruskan dan menikmati perlawanan tersebut,” katanya.

Jin Wei harapan tunggal perseorangan wanita negara untuk layak ke Olimpik Paris 2024

Sementara itu, Jin Wei yang bergelut dengan masalah kesihatan tahun lalu berkata, dia enggan mengulas mengenai prestasi pemain lain terutamanya perseorangan wanita di Akademi Badmminton Malaysia (ABM) kerana tidak menjalani latihan bersama, sebaliknya gembira dengan perancangan diatur jurulatih dari Indonesia, Nova Armada.

“Bagi saya, merasakan semua pemain mempunyai peluang yang sama. Saya tidak pasti untuk orang lain tetapi bagi saya , saya ada jurulatih yang baik dan ianya sesuatu persaingan yang sihat,” jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan jurulatih Nova, Jin Wei berkata: “Saya sangat stabil di bawah perancangan jurulatih (Nova) dan peluang jalani latihan bersama Joo Ven dan Jun Wei memberikan pengalaman yang sangat baik. Sasaran saya adlah layak ke Olimpik.”

Tahun lalu, Jin Wei beraksi dalam 17 kejohanan dan kini menduduki ranking ke-33 dunia.

Jin Wei tidak menyangka dapat ke pusingan kedua dengan kemenangan dua set.

Bagi kejohanan seterusnya, Jin Wei menegaskan dia akan lebih memilih kejohanan secara selektif untuk memastikan dapat memberikan segala-galanya demi negara dalam sesuatu kejohanan tersebut.

“Saya akan lihat tindak balas badan saya. Tahun lalu, saya terlalu membebankan diri, namun berbaloi dengan apa yang saya dapat rasakan hari ini.

“Kini saya mahu mahu fokus kepada kelayakan Olimpik bermula Mei ini.”