“KALAU kita memenangi set pertama, saya rasa keputusan hari ini berbeza,” kata Chen Tang Jie, selepas pemain beregu campuran yang bergandingan dengan Toh Ee Wei itu tewas di suku akhir Terbuka Malaysia hari ini.
Pasangan yang baru digandingkan kira-kira dua bulan lalu itu, tewas kepada bekas pemain nombor satu dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 19-21, 9-21.
Beraksi di Axiata Arena, Tang Jie-Ee Wei dan Puavaranukroh-Taerattanachai saling mengejar mata sehingga pemain Thailand yang kini di ranking ketiga dunia memegang mata akhir, 16-20.
Tang Jie-Ee Wei memberi tekanan yang baik kepada gandingan lawan sehingga ke mata 19, sebelum akur dengan kekalahan 19-21.
Bermula set kedua, Tang Jie-Ee Wei seakan hilang rentak dan kehilangan mata di tangan lawan sehingga mudah dijinakkan pasangan negara 21-19.
Puavaranukroh-Taerattanachai selepas ini dijadual bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang menewaskan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan, 21-17, 21-17.
Semalam, Tang Jie-Ee Wei melangkah ke suku akhir selepas menewaskan beregu ranking ke-12 dunia dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-19, 21-16.
“Saya akui melangkah ke suku akhir satu pencapaian yang bagus terutamanya di kejohanan Super 1,000, tapi sebenarnya saya tidak berpuas hati dengan pencapaian ini.
“Sebelum kejohanan bermula lagi, saya tetapkan untuk melangkah sehabis jauh yang boleh, saya dan Ee Wei mahu mencabar kemampuan diri kami, kerana kami mahu layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Tipu jika saya gembira dengan pencapaian ini. Bukan saya tak menghormati lawan lain kerana saya tahu, semua pemain yang menyertai kejohanan ini mempunyai kualiti tinggi,” kata Tang Jie.
Pada set kedua, mereka ketinggalan jauh dan kedua-duanya teruja mahu mematikan permainan setiap kali berpeluang sehingga hampir bertembung sesama sendiri.
Sementara itu, Ee Wei mengakui, kehadiran jurulatih Nova Widianto banyak membantu menaikkan corak permainan dan semangat mereka.
“Coach Nova datang, permainan kita ada peningkatan dan saya rasa, kami ada cukup masa untuk mengejar mata kelayakan Olimpik,” kata Ee Wei.
Gandingan ini akan beraksi di Terbuka India dan Cabaran Antarabangsa Iran, dalam usaha menaikkan ranking sebelum bermula mata kelayakan ke sukan Olimpik Paris 2024 bermula, Mei ini.’
Ketika ini, Tang Jie-Ee Wei berada di ranking ke-147 dunia.