PELUANG beraksi di kejohanan berstatus Super 1,000 amat berharga dan kekalahan di pusingan kedua beregu wanita pagi tadi, lebih mematangkan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee.
Baru dua bulan digandingkan dan berada di ranking ke-193 dunia, Mei Xing-Pei Kee tetap menikmati peluang tanpa diduga, apabila dipanggil beraksi di Terbuka Malaysia, bagi menggantikan pasangan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
“Kemampuan yang ada pada kami masih belum cukup untuk berdepan gandingan ternama dunia, jika kami mahu menyaingi mereka, banyak perubahan perlu kami lakukan,” kata Mei Xing, selepas mereka tewas keapda pilihan ketujuh dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 10-21, 7-21, pagi tadi.
Tanpa merendahkan kemampuan dan keyakinan diri, Mei Xing perlu akur dengan kehebatan pasangan China yang menghuni ranking keempat dunia itu.
“Saya teruja dapat menentang pemain yang berada di ranking jauh lebih tinggi. Ia membuatkan saya dan pasangan mahu menjalani latihan lebih gigih untuk merapatkan jurang kekuatan yang ada pada pemain lawan… ya kami perlu belajar banyak lagi.
“Kekurangan paling ketara di pihak saya dan Pei Kee adalah dari segi pertahanan dan ketika melakukan serangan, jauh berbeza berbanding pemain berkelas dunia.
“Selain itu, kami juga kalah dari segi kelajuan pergerakan atas gelanggang.”
Pada pusingan pertama semalam, Pei Kee-Mei Xing mengejutkan pemain senior negara yang juga profesional yang jauh berpengalaman, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dengan kemenangan 21-13, 21-13.
Mei Xing, 26, digandingkan dengan Pei Kee, 21, selepas gandingannya Anna Cheong mengalami kecederaan ACL kira-kira tiga bulan lalu.
Gandingan Mei Xing dan Anna sehingga kini masih berada di ranking ke-17 dunia.
Bersama Anna, Mei Xing meraih satu gelaran pada kejohanan berstatus Super 300, Kejohanan Antarabangsa Syed Mohdi India tahun lalu.
Di Terbuka Malaysia kali ini, Mei Xing masih berpeluang melangkah ke suku akhir dalam beregu campuran, apabila turun beraksi bersama Hoo Pang Ron, menentang pemain Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue.