BEREGU lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak mahu melakukan sebarang kesilapan seperti mencicirkan mata berharga pada pertemuan dengan gandingan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, esok.

Gandingan itu melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 17-21, 21-13, 21-14, untuk menempah pertemuan dengan gandingan utama Indonesia itu.

“Apa yang berlaku pada set pertama, kami tak boleh ulangi keciciran mata berdepan Fajar dan Rian. Kami perlu menghargai setiap mata,” kata Ee Yi, selepas tamat perlawanan pusingan kedua.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi atasi pemain Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 17-21, 21-13, 21-14.

Mengakui ada kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena, Ee Yi berkata, keutamaan mereka adalah mempamer aksi terbaik dan melakukan persediaan yang sempurna untuk pertemuan suku akhir itu.

Yew Sin pula berkata, mereka perlu berbincang dengan jurulatih menjelang pertemuan dengan Fajar-Rian.

Mereka hanya menang tiga daripada sembilan perlawanan menentang Fajar-Rian, termasuk pertemuan terakhir di Jelajah Dunia Akhir Disember lalu.

Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menjadi lawan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di suku akhir Terbuka Malaysia esok.

Sementara itu, Fajar berkata, dia dan Rian tidak menjangka perlawanan suku akhir mudah buat mereka, apa lagi menentang pemain negara yang beroleh sokongan padu peminat tempatan.

“Saya tidak mahu fikirkan terlalu jauh hingga separuh akhir. Kami perlu lepasi satu persatu perlawanan dan pastinya tekanan di pihak kami dengan sokongan padu penybokong Malaysia.

“Paling penting kami perlu sedia dari segi mental,” kata Fajar.

Fajar dan Rian mara ke suku akhir selepas mengatasi gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 8-21, 21-19, 21-16.