PERMULAAN musim yang tidak dirancang, menyulitkan peluang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk memburu slot Olimpik Paris.

Permulaan terpuji yang Tan Kian Mdiharapkan beregu campuran profesional negara itu, tidak kesampaian apabila tumpas di pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena hari ini.

Kian Meng-Pei Jing yang menjadi wakil pertama negara membuka gelanggang di kejohanan bertaraf Super 1000 ini, terpaksa akur dengan kehebatan wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun apabila tumpas straight set 21-11, 21-16.

Menurut Pei Jing, kekalahan kepada pilihan ketujuh kejohanan itu memang memberi kesan kepada pungutan mata untuk kelayakan Olimpik, namun mereka tidak mahu memikirkan terlalu banyak mengenai perkara itu.

“Kami hanya mahu memikirkan bagaimana untuk kembali bangkit untuk menjadi antara pasangan terbaik dunia. Perkara itu yang kita pentingkan sekarang (berbanding pungutan mata Olimpik),” katanya selepas tamat perlawanan.

Pemain kelahiran Pahang itu turut mengakui tumpas straight set hari ini, bukan seperti yang dia harapkan tambahan pula kali terakhir mereka bertemu di Masters Jepun November lalu ia berakhir dengan kemenangan.

“Sebenarnya kita mengharapkan peningkatan berterusan untuk permulaan musim ini kerana saya berasa sangat bertenaga dan teruja. Malangnya ia bukan keputusan dan prestasi saya bayangkan. Kami perlu fikirknnya semula.

“Lagipun kami terkejut permainan mereka sedikit berubah terutama di set pertama berbanding ketika kami menang ke atas mereka tahun lalu. Mungkin tekanan membuatkan saya tidak boleh fikir dengan jelas. Banyak faktor sebenarnya yang memberi kesan kepada kekalahan hari ini,” kata Pei Jing yang mengakui bahawa tahap kesihatan kurang memuaskan sebelum ini bukan alasan mereka tersingkir awal.

Sementara itu, Kian Meng berkata, kehilangan penaja disebabkan prestasi buruk tahun lalu tidak boleh menghantui mereka sebaliknya perlu fokus kepada diri sendiri bagaimana untuk kembali bangkit pada musim baharu ini.

“Begitu juga dengan kelayakan Olimpik, kami tidak boleh memikirkannya sekarang, hanya perlu fokus kepada permainan sendiri bagaimana untuk berada sebaris dengan pasangan terbaik dunia,” katanya yang sekarang ini menduduki ranking ke-25 dunia bersama Pei Jing.

Selain berdepan masalah penajaan Kian Meng-Pei Jing juga tersentak dengan digugurkan daripada Program Road To Gold (RTG) Oktober lalu berikutan persembahan buruk pada awal sehingga pertengahan saingan 2023.

Selepas ini mereka akan meneruskan aksi minggu depan dengan beraksi di Terbuka India dan diundi berdepan gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.