INPUT berguna dari jurulatih Nova Widianto membantu gandingan beregu campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta kejutan ke atas gandingan nombor enam dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Pada perlawanan pusingan pertama itu, Tan Jie-Ee Wei menang mudah 21-15, 21-10 untuk menempah pertemuan dengan gandingan Indonesia, Rehan Naufal-Lisa Ayu Kusumawati, esok.
“Jurulatih Nova beritahu kami supaya tidak melakukan smash ketika berada di gelanggang melawan angin, kerana dia tahu situasi angin di Axiata Arena, sebagai pemain dan sebagai jurulatih yang membawa pemain Indonesia sebelum ini.
“Jadi, jurulatih mahu kami fokus kepada servis dan membalas servis,” kata Ee Wei.
Sementara itu, Tang Jie berkata, dia terpaksa mengawal keghairahan dan rasa gementara dalam diri, demi memimpin Ee Wei yang lebih junior dalam gelanggang.
“Ketika dia terlalu teruja, dia gementar, saya tenangkan kerana perlawanan belum tamat. Saya juga mesti mengawal diri sendiri,” kata Tang Jie, sambil mengakui pemain senior negara, Kian Meng-Pei Jing tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan keadaan angin di gelanggang.
Sementara itu, satu lagi gandingan senior, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa akur terkandas di pusingan pertama apabila tewas kepada Rehan Naufal-Lisa Ayu, 21-18, 15-21, 7-21.