TIDAK ada sekatan kepada pemain badminton China untuk mengambil bahagian di Terbuka Malaysia yang akan bermula Selasa ini, biarpun ke Covid-19 di negara itu kian meningkat.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

Beliau berkata, pemain China berpangkalan di luar dan tidak berada di negara mereka dan tiada masalah untuk menyertai kejohanan bertaraf Super 1,000 itu.

“Kita akan ikut apa sahaja peraturan ditetapkan kerajaan, secara spesifik pemain dari negara China tidak ada masalah untuk ke sini kerana mereka berpangkalan di negara lain. Saya difahamkan mereka berlatih di negara lain,” katanya.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata, tiada sekatan ke atas pemain China dan BAM mengikut polisi kerajaan.

Menurut Kenny, setakat ini beberapa pemain dari negara lain sudah berada di Malaysia bagi membuat persediaan untuk kejohanan berkenaan dan ada di antaranya berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

China melaporkan 218,019 kes Covid-19 mingguan baharu setakat 1 Januari dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan mingguannya berkata, China melaporkan lima kematian baharu berkaitan Covid-19 Selasa lalu, menjadikan jumlah kematian rasmi kepada 5,258, sangat rendah mengikut piawaian global.

Petronas Terbuka Malaysia, 30 peratus lagi tiket boleh dibeli.

Sementara itu, Kenny berkata, hanya 30 peratus lagi tiket belum terjual dan boleh didapati bagi menyaksikan saingan Terbuka Malaysia yang berlangsung di Arena Axiata.

“Tiket separuh akhir dan final sudah hampir habis kecuali ‘upper tier’. Namun, secara keseluruhannya masih berbaki 30 peratus lagi tiket yang boleh dibeli.

“Jadi, saya menyeru peminat badminton tempatan untuk membeli tiket dan hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pemain negara,” katanya.

Terbuka Malaysia yang dinaik taraf menjadi salah satu daripada empat kejohanan ‘Grand Slam’ badminton tahun ini, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan  AS$1.25 juta (RM6.6 juta).

ARTIKEL BERKAITAN : Tiket Final Terbuka Malaysia Petronas hampir habis dijual