MESKIPUN musim 2023 belum berakhir, bahang kehangatan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 mula terasa.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan, mengumumkan tiket untuk kejohanan yang akan berlangsung 9 hingga 14 Januari itu, akan mula dijual Rabu ini (15 November) bermula jam 11 pagi.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh menerusi kenyataan media yang diedarkan, memaklumkan bahawa orang ramai boleh mendapatkan tiket mereka lebih awal kerana kejohanan yang kekal dengan status Super 1,000 itu akan membabitkan pemain terbaik dunia yang memburu mata kelayakan Olimpik Paris.

Kenyataan media BAM, mengumumkan penjualan tiket Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024.

“Terbuka Malaysia secara konsisten memberikan aksi badminton bertaraf dunia dan kami sangat gembira untuk menjadi tuan rumah ini sekali lagi.

“Ini adalah peluang terbaik buat peminat untuk menyaksikan permainan bertaraf dunia dan menyokong pemain kebangsaan kita di pentas antarabangsa. Kami galakkan semua orang untuk mendapatkan tiket awal dan menjadi sebahagian daripada tontonan badminton ini,” katanya.

Tumpuan pastinya terarah kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, harapan terbaik negara ke Sukan Olimpik Paris 2024

Tambahnya, kempen ‘Early Bird’ bukan sahaja untuk mendapatkan diskaun tetapi juga untuk memastikan peminat tidak terlepas peluang menyokong pemain kegemaran mereka secara langsung.

Selain tiket individu, tiket bermusim juga dijual bagi membolehkan orang ramai menyaksikan setiap perlawanan dari pusingan awal hingga ke akhir.

Venue Terbuka Malaysia 2024 kekal di Axiata Arena, Bukit Jalil.