GANDINGAN muda negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun melakar kejutan di Terbuka Taiwan, apabila menyingkir pilihan pertama kejohanan, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di separuh akhir hari ini.
Pasangan dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang diletakkan selaku pilihan kelima, mengatasi beregu profesional negara itu dengan keputusan 217-21, 21-19, 21-9, untuk ke final, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Kemenangan ke atas Yew Sin-Ee Yi yang berada di ranking keenam dunia itu, pastinya menjadi tonik berharga buat Wei Chong-Kai Wun dalam misi mengumpul mata ke Olimpik Paris, sekali gus merancakkan lagi saingan perebutan dua slot ke temasya sukan terbesar dunia itu, tahun hadapan.
Ketika ini, Wei Chong-Kai Wun berada di ranking ke-23 dunia, menjadi beregu ketiga lelaki negara di belakang Yew Sing-Ee Yi dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghuni ranking keempat dunia.
Terbuka Taiwan adalah final kedua tahun ini buat Wei Chong-Kai Wun selepas mnuncul naib juara Malaysia Masters, bulan lepas.
Sementara itu, gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, turut menempah tempat di final, selepas pilihan keempat itu mengatasi gandingan pilihan kelima tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin, 21-14, 21-19.
Ini adalah final ketiga buat Tang Jie-Ee Wei tahun ini, selepas muncul juara di Orleans Masters, Perancis, April lalu serta juara di Cabaran Antarabangsa Fajr Iran, pada Januari.
Tang Jie-Ee Wei kini berada di ranking ke-19 dunia, menjadi pasangan campuran ketiga terbaik negara di belakang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (17) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (7).