Eksklusif
SITUASI menghimpit, tekanan menggunung mematangkan Muhammad Haikal Nazri dan rakan gandingannya, Choong Hon Jian untuk mencipta kejayaan di pentas badminton dunia.
Muhammad Haikal, 21, mengakui tidak mudah untuk dirinya mengembalikan fokus dan menetapkan pemikiran positif, selepas dipisahkan dari gandingan asal, Wan Arif Junaidi yang sudah mula memberi impak sehingga mendapat jolokan gandingan ‘Patatimo Boys’.
Terasa bagai dicampak ke sana, ke mari, membuatkan Muhammad Haikal sentiasa termenung dan merenung jauh masa depannya dalam badminton, apatah lagi ketika mengenangkan dipisahkan dengan Arif pada Februari lalu, bergandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani sehinggalah kembali berseorangan kerana Nur Izzuddin mahu kembali bersama gandingan Goh Sze Fei pada Mei.
Meletakkan dirinya bagai hilang punca, keluarga menjadi pedoman untuknya bertahan dan bersabar, mempercayai adanya hikmah di sebalik ujian.
Selepas lebih sebulan tiada pasangan, meletakkan pemain berasal dari Bachok, Kelantan itu terus dihimpit tekanan.
Sehinggalah pda Jun, dia bersuara kepada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, mencadangkan nama Hon Jian, 23, sebagai rakan gandingannya.
“Pada waktu itu, saya sering terfikirkan apa nak jadi kepada saya, bagaimana masa depan badminton saya, tetapi dalam masa sama saya tanamkan dalam diri untuk bersabar dan bertenang.
“Saya anggap ini semua satu proses yang perlu saya hadapi sehingga sekarang saya percaya proses itu betul dan perlu dihadapi sebagi seorang pemain badminton,” kata Muhammad Haikal.
Menyuarakan hasrat untuk bersama Hon Jian, selepas mengenangkan Hon Jian juga tidak mempunyai gandingan sebenar selepas Sze Fei kembali bersama Nur Izzuddin, kedua-duanya ‘laparkan’ kejayaan.
Ketika Muhammad Haikal sudah meraih tiga kejuaraan peringkat kejohanan senior bersama Arif pada 2021, tiga naib juara (2021/2022), Hon Jian pula tercari-cari rentak untuk bergelar juara dalam beregu lelaki.
“Saya dan dia (Hon Jian) sama-sama mahukan kemenangan kerana sebelum ini kami tidak ada result yang baik, apatah lagi Hon Jian yang lebih lama di ABM.
“Sasaran awal kami adalah mahu memintas empat gandingan di ranking lebih tinggi iaitu Arif-Yap Roy King, Lwi Shen Hao-Jimmy Wong, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe dan Chia Weijie-Liew Xun.
“Kini sasaran awal itu berjaya dicapai sebelum berakhirnya tahun 2023,” kata Muhammad Haikal, kepada Flash Sukan.
Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, Muhammad Haikal memberitahu, dia dan Hon Jian masih tidak dapat mempercayai mereka melakukannya.
“Selepas memenangi Kejohanan Syed Modi (Kejohanan Antarabangsa India, Super 300), saya lihat ranking, saya terus beritahu partner, Hon… kita dah berjaya capai sasaran, kita dah potong mereka (rakan di ABM).
“Sejak itu kami mula mencongak jika memenangi kejohanan seterusnya, berapa mata boleh dapat.”
Menjelaskan detik perjuangan bersama Hon Jian, Muhammad Haikal berkata, tentunya mereka menghargainya kerana kedua-duanya meraih kejuaraan kejohanan Jelajah Dunia pertama bersama iaitu Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India, 3 Disember lalu.
Malah, gandingan terbabit muncul satu-satunya pemain dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjuarai dua kejohanan berturut-turut, selepas muncul juara Gwahati Masters, India seminggu selepas itu (10 Disember).
“Selepas juara di Syed Modi dengan menewaskan gandingan Top 20 dunia dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito, keyakinan kami naik dalam masa sama agak tertekan kerana bimbang tersingkir awal pada kejohanan berikutnya.
“Namun mereka lega, keazaman memandu mereka untuk menjuarai satu lagi gelaran di India dan menutup musim 2023 di ranking ke-52 dunia.”
Menjelang 2024, Muhammad Haikal menetapkan misi mereka baharu bermula.
Meletakkan sasaran jangka pendek untuk memasuki ranking Top 32 dunia, kerana mahu beraksi di kejohanan lebih besar iaitu Super 750 dan Super 1,000.
“Saya sudah bincang dengan Hon Jian, selepas memintas empat gandingan ABM, kami tidak lagi menetapkan sasaran memburu gelaran, sebaliknya memburu ranking dengan misi jelas, kami ingin pintas pasangan senior, Nur Izzuddin-Sze Fei.
Gandingan itu dijangka memulakan saingan di Indonesia Masters yang akan berlangsung pada 23 hingga 28 Januari depan.
Menyertai saingan berstatus Super 500 itu, Muhammad Haikal sedar cabaran buatnya dan Hon Jian lebih mencabar.
Namun, dia dan pasangan menetapkan prestasi gandingan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China sebagai penanda aras yang tinggi, kerana gandingan itu memiliki konsistensi yang amat stabil.
“Setiap gandingan ada kelemahan terhadap lawan tertentu, begitu juga kami tetapi kami mahu mengatasinya.
“Secara individu, kami berdua jauh lagi untuk menghampiri kesempurnaan, banyak perlu ditingkatkan dari segi fizikal, kawalan dalam gelanggang, malah kualiti hantaran bulu tangkis juga perlu diitingkatkan, kami tidak boleh mengundang serangan daripada pihak lawan.”