PENGUMUMAN berhubung pelantikan jurulatih baharu skuad bawah 23 (B-23) terus mencetuskan polemik seluruh peminat bola sepak negara.

Beberapa nama orang luar dicadangkan, tidak kurang figura tempatan yang sedang mengendalikan kelab semasa dipetik bagi menambahkan lagi rencah dan sensasi jawatan itu.

Namun demikian, menurut pandangan jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, perkembangan skuad muda harus seiring berjalan dengan pasukan Harimau Malaya yang makin maju melangkah garang ke hadapan.

Ujarnya, perbezaan antara kedua-dua skuad diibaratkan bagai langit dan bumi dan tuah menyebelahi Malaysia B-23 yang layak ke Qatar berdasarkan kedudukan naib juara keempat terbaik kumpulan.

Bagi mengatasi masalah ini, Raja Isa mengesyorkan agar lebih baik Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin segera melantik Kim Pan-gon (KPG) menangani pasukan B-23 kerana acuannya hampir sama.

“Saya melihat atas pelbagai faktor. Pan-gon boleh menerapkan falsafah dan DNA yang sedang digunapakai sekarang kepada peringkat bawah umur seperti B-23. Dia dah kenal kebanyakan pemain skuad Harimau Muda kerana ada yang bermain di Liga Super dan dia sendiri telah melihat aksi pemain semasa liga berjalan.

“Keupayaan KPG membentuk sahsiah dan jati diri kepada pasukan ‘abang’ boleh diteruskan pula kepada adik. Sayang sekali kerana kita dah layak ke Qatar dan peluang untuk mara ke Sukan Olimpik Paris tampak lebih cerah berbanding harapan besar dihalakan atas beban bahu pemain ke Piala Dunia 2026.

“Pada saya, Pan-gon sesuai berada di posisi itu sebagaimana dilakukan negara jiran, Indonesia yang menggunakan Shin Tae Yong dalam kedua-dua skuad,” katanya.

Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee.

Menurut bekas jurulatih UiTM FC berusia 57 tahun itu, dia tidak nampak calon lain boleh memacu skuad B-23 memandangkan tempoh kira-kira tujuh bulan sudah terlalu hampir menjelang kejohanan sebenar.

Tanpa berselindung, Raja Isa menamakan Datuk Ong Kim Swee yang kini bersama Sabah FC dan Tan Cheng Hoe (Selangor FC) calon anak tempatan paling cocok atas pengalaman berada tahap tertinggi dalam skuad negara.

“Tidak perlu membuang masa membawa tenaga jurulatih import buat masa sekarang. Dua nama yang saya sebutkan tadi dah cukup layak diberikan peranan membimbing skuad B-23.

“Kim Swee sendiri ada pengalaman dengan skuad junior dan beliau lebih tahu apa keperluan skuad. Mungkin FAM boleh ‘meminjam’ untuk beberapa bulan kerana misi di Qatar adalah pertandingan yang cukup mustahak dan berprestij. Selepas itu, bolehlah beliau kembali semula ke pangkuan kelab. Ini hanyalah idea.

“Ingat, pencapaian kita nak melangkah lebih jauh di Sukan Olimpik 2024 lebih realistik dan tidaklah sesukar seperti Harimau Malaya meniti ranjau berduri bertemu pasukan liat dan besar.

“KPG tetap boleh memantau dan menasihati Kim Swee atau Cheng Hoe dalam soal taktikal dan strategi permainan. Dah lama peminat tidak menyaksikan Malaysia bermain di Olimpik sejak 1972 dan kali terakhir 1980 di Moscow,” katanya lagi.

Beliau mendedahkan ikhlas dalam berkongsi idea kerana baginya, mutu bola sepak negara perlu dimartabatkan semula.

Sementara itu, Raja Isa juga menolak sebarang isu mengaitkan dirinya untuk melatih skuad B-23 kerana ada sumber terdekat FLASH SUKAN memaklumkan pengendali asal Ampang itu mendapat tawaran melatih sebuah pasukan kebangsaan di benua Afrika dalam menghadapi pusingan akhir Piala Negara Afrika pada Januari 2024 dan persiapan kelayakan Piala Dunia 2026

“Saya enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan yang sedang berlegar-legar itu,” katanya ringkas.

Di Piala Asia B-23 nanti, bukan saja ditawarkan trofi kejuaraan malah tiga pasukan terbaik bakal meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris sekali gus peluang buat Malaysia cuba mencipta sejarah layak kali ketiga ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Untuk rekod, pasukan bola sepak negara pernah mencipta sensasi di peringkat dunia apabila layak dua kali ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 di Jerman dan saingan 1980 di Moscow sebelum menarik diri ekoran pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.